Bonus Aidilfitri: Kelantan ikut pusat, Selangor paling tinggi dengan sebulan gaji

‎Ahli PAS perlu akur pendirian Hadi sokong Khalid, kata Dewan Ulama PAS

Kerajaan Kelantan menurut kadar bonus kerajaan pusat apabila turut mengumumkan bonus Aidilfitri sebanyak RM500 yang akan dibayar 15 Julai ini bagi meringankan bebanan kakitangan awam menyediakan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata, kerajaan Kelantan mengikut kaedah sebagaimana yang dilaksanakan kerajaan pusat.

“InsyaAllah dengan bayaran bonus sebanyak RM500 membolehkan kakitangan negeri menyiapkan kelengkapan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya selepas mesyuarat Exco semalam, lapor Harakahdaily.

Sebelum ini, dua lagi negeri Pakatan Rakyat mengumumkan bonus raya dengan Selangor paling banyak, iaitu sebulan gaji, manakala Pulau Pinang setengah bulan gaji.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula mengumumkan bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata, lebih RM2.5 juta diperuntuk kerajaan negeri bagi membayar bonus Aidilfitri kepada lebih 10,000 kakitangan awam negeri.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk kakitangan pihak-pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jumlah berkenaan membabitkan kakitangan di Kota Darulnaim, pejabat-pejabat Tanah dan Jajanan, guru-guru dan kakitangan Yayasan Islam Kelantan dan lain-lain di bawah SUK,” katanya sebagaimana dilaporkan media PAS itu. – 10 Julai, 2014.