BPH PASTIKAN RUMAH PERANGINAN PERSEKUTUAN KEKAL STATUS BINTANG UNTUK KESELESAAN TETAMU

TASIK KENYIR, 16 Jun (Bernama) -- Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan

Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengurus Rumah Peranginan Persekutuan

(RPP) akan memastikan kemudahan berstatus bintang kekal walaupun mengenakan

kadar caj murah kepada tetamunya.

Setiausaha Bahagian BPH Norazman Othman berkata ketika ini BPH mengurus

tujuh RPP di seluruh negara iaitu di Port Dickson, Negeri Sembilan, Morib

Selangor, Bukit Fraser dan Cameron Highland masing-masing di Pahang, Pulau

Langkawi, Pulau Pinang dan Tasik Kenyir.

"Semua kemudahan di RPP ini boleh kita katakan bertaraf tiga ke empat

bintang dan kita mahu kemudahan ini terus ditingkatkan ke tahap lebih tinggi

malah ke tahap lima dan enam bintang," katanya kepada pemberita ketika ditemui

pada program media bersama BPH di RPP Tasik Kenyir Terengganu semalam.

Beliau berkata selain menyediakan RPP dalam negara BPH turut mengurus RPP di

London iaitu di York House, Hyde Gate dan Transit Sipson-Middlesex selain satu

di Singapura (rumah banglo yang pernah menjadi lokasi pengambaran filem Madu

Tiga).

Menurutnya semua kemudahan tersebut menawarkan kadar sewa bilik dan banglo

serendah RM25 sehingga RM200 untuk semalam termasuk RM100 untuk RPP di London

dan Singapura.

-- LAGI

RUMAH-PERSEKUTUAN 2 (AKHIR) TASIK KENYIR

"Selain itu BPH kini dalam peringkat akhir untuk mewujudkan satu lagi RPP di

Pulau Pangkor, Perak dan ia dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Ogos

depan," katanya.

Norazman berkata dua daripada RPP milik BPH diurus pihak swasta iaitu di RPP

Federal Villa di Langkawi manakala RPP Port Dickson di bawah pengurusan

Permaisuri Resort.

Katanya untuk mencapai matlamat menjadikan RPP pusat percutian bertaraf

bintang pihaknya giat memberi latihan hospitaliti kepada semua pegawai dan

petugas di RPP seluruh negara.

Kemudahan RPP adalah khas untuk penjawat awam persekutuan untuk membolehkan

mereka beristirehat bersama keluarga dengan kadar berpatutan.

Setiap tempahan untuk menginap di kemudahan RPP boleh dibuat melalui BPH

secara talian atau tempahan melalui internet manakala untuk kemudahan RPP di

London dibuat melalui Jabatan Perdana Menteri.

-- BERNAMA

AZM AZM NH

Loading...