Advertisement

Chong Wei saman Razif Sidek, akhbar kerana tuduhan ‘doping’

Chong Wei saman Razif Sidek, akhbar kerana tuduhan ‘doping’

Pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mengesahkan hari ini akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Razif Sidek dan sebuah akhbar Melayu kerana menuduh beliau terbabit dengan pengambilan dadah terlarang.

Beliau memberitahu The Star Online surat tuntutan saman dihantar melalui pejabat peguamnya Song and Partners kepada Razif minggu lepas.

"Tuduhan itu tidak benar. Hanya kerana saya ada kes 'doping' sekarang, kamu tidak boleh membuat kenyataan sesuka hati. Adakah dia mempunyai bukti menyokong dakwaannya?" beliau dipetik berkata portal berita itu.

Pada November 11, Razif yang juga bekas pemain badminton negara dilaporkan akhbar Kosmo sebagai berkata, Lee sudah lama menggunakan dadah seperti hasil ujian 'doping' awal bulan lepas.

Katanya, ramai pegawai dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyedari kesalahan yang dilakukan Lee tetapi tiada yang berani bersuara kerana kredibilitinya sebagai seorang jaguh dunia.

Malah, Razif dilaporkan berkata, Lee sanggup mengupah seorang doktor dari luar negara bagi tujuan itu.

Sebuah portal berita lain memetik Lee berkata hari ini, Razif sudah menghubunginya dan meminta maaf kerana membuat kenyataan itu selepas menerima surat tuntutan daripada Lee.

"Tetapi, apa yang terjadi sudah terjadi," dia dipetik berkata dengan nada marah sambil memberitahu portal itu yang ketika berita itu mula-mula dilaporkan, beliau cuba menghubungi Razif tetapi tidak berjaya.

"Saya tak boleh biar begitu sahaja kerana dia memfitnah saya. Sebagai bekas pemain badminton, dia seharusnya sedar dia tidak patut membuat tuduhan palsu kepada saya, terutamanya saat saya sedang menghadapi kesukaran.

"Beliau bukan sahaja menyakiti saya, malah seluruh negara dengan kenyataannya itu," katanya kepada portal berita itu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam reaksinya menyifatkan dakwaan Razif itu tidak berasas dan menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi sehingga ia diputuskan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sampel air kencing Lee, 32, didapati mempunyai kesan dexamethasone semasa ujian rawak pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen pada bulan Ogos.

Dexamethasone ialah sejenis ubat steroid yang biasanya digunakan untuk tujuan pemulihan dari kecederaan.

Ujian kedua yang dijalankan ke atas "sampel B" di Universiti Hospital Oslo, Norway pada 5 November mengesahkan kehadiran bahan itu.

Sehubungan dengan itu, BWF mengumumkan penggantungan sementara Lee pada 11 November. – 2 Disember, 2014.