DAP beri amaran Pakatan berpecah kerana krisis MB Selangor

PAS cabar Guan Eng dialog, jelaskan sebab tolak hudud

DAP hari ini membayangkan kemungkinan Pakatan Rakyat (PR) akan berpecah kerana kegagalan atau keengganan salah satu parti komponen untuk menghormati dan memegang janji berdasarkan keputusan yang dicapai secara bersama.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tindakan salah satu parti komponen yang menidakkan persetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) boleh menyebabkan kredibiliti dan survival gabungan itu tergugat.

"Sekiranya keputusan yang dicapai bersama dalam Majlis Pimpinan PR boleh ditidakkan begitu sahaja oleh suatu pihak, maka kredibiliti dan survival PR akan terus tergugat," kata Lim dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Menurut Lim, isu terbesar selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah apakah sistem dua parti di Malaysia akan terus kekal ekoran kemungkinan PR mungkin pecah kerana kegagalan atau keengganan salah satu parti komponen untuk menghormati dan memegang janji kepada keputusan yang dicapai secara bersama.

"Tanpa PR, Malaysia akan kembali balik kepada era monopoli kuasa yang rakus menindas rakyat dan hanya memihak kepada kroni tertentu," katanya.

Kenyataan Lim itu dipercayai merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menidakkan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi PR yang dipersetujui bersama tiga parti itu untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang medianya pada hari sama berkata isu penggantian menteri besar Selangor akan dibawa dalam perbincangan pimpinan tertinggi PKR, PAS dan DAP.

Pendapat Hadi turut dipersetujui Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataannya hari ini apabila meminta semua ahli parti Islam itu menghormati keputusan dibuat Hadi dan Dewan Ulama.

Khalid juga turut mendapat sokongan daripada Umno dan akhbar milik parti itu Utusan Malaysia yang mahu beliau terus kekal menerajui Selangor. – 27 Julai, 2014.