Advertisement

DAP cabar lapan menteri bukan Melayu letak jawatan protes kenyataan Muhyiddin

Puji Vincent Tan bukti BN tidak malu amal kronisme, kata DAP

DAP mencabar semua parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bukan Melayu termasuk MCA, MIC dan lain-lain mendesak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin menarik balik kenyataannya berkaitan 13 Mei.

Jika tidak lapan pemimpin mereka yang menyertai kabinet dicabar meletakkan jawatan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

"MCA, MIC, SUPP, PBS, PRS dan Gerakan perlu mengambil tanggungjawab terhadap kenyataan perkauman dan melampau Muhyidin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Lapan menteri ini perlu memberikan Muhyiddin dua pilihan, menarik balik kenyataan benci dan bahasa menghasutnya atau dua menteri MCA, dua MIC, satu Gerakan, satu PBS, satu PRS dan satu SUPP meletakkan jawatan daripada kabinet sebagai tanda protes," katanya.

Lim membidas kenyataan Muhyiddin sebagai tidak jauh beza dengan kumpulan ekstremis Melayu yang menggunakan perkauman sebagai modal politik.

"Ia bukan saja tidak bertanggungjawab tetapi menunjukkan Muhyiddin layak menjadi ikutan NGO ekstremis seperti Perkasa dan Isma," kata Lim.

Lim berkata, Muhyiddin juga tidak layak menjadi timbalan perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

"Bukan Melayu mudah menjadi sasaran kerana mereka adalah minoriti daripada tiga kumpulan utama," katanya.

Masyarakat Melayu membentuk 60.3%, diikuti Cina 22.9% dan India 7.1%.

Lim berkata, kenyataan Muhyiddin tidak masuk akal ketika jumlah masyarakat Cina semakin mengecil daripada 45% pada 1957 kepada hanya 22.9%.

"Ancaman utama datang daripada salah guna kuasa, tidak berkualiti, rasuah dan kronisme," katanya.

“Kegagalan enam parti komponen BN dan lapan menteri mereka membantah kenyataan itu akan menunjukkan mereka juga menyokong kenyataan perkauman dan ekstremis Muhyiddin," katanya.

Muhyiddin dipetik berkata semalam dalam akhbar Utusan Malaysia tidak menolak kemungkinan insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 berulang jika hubungan antara kaum tidak dipelihara.

Muhyiddin berkata, ketegangan dan hubungan tidak baik antara kaum memungkinkan insiden itu berulang lagi.

"Sebab itu timbul pelbagai andaian apabila hubungan kaum sudah sampai ke tahap cetus ketegangan dan hubungan tidak baik. Ini boleh menyebabkan peristiwa tersebut dan saya tidak mahu sebut tarikh itu (13 Mei 1969)," kata Muhyiddin semasa menghadiri majlis berbuka di Johor semalam.

Pertikaian kaum dan agama sering diperdebatkan di dalam negara, tidak kurang juga ada yang mencetuskan kontroversi.

Beberapa insiden provokasi yang dilakukan kumpulan pendesak Melayu yang juga penyokong kuat kerajaan Umno-BN menjadi tumpuan, malah seakan-akan mendapat restu daripada pemerintah. – 6 Julai, 2014.