DAP guna gadis ‘cun’ tunjuk imej mesra Melayu-Islam, kata Isma

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyifatkan gadis Melayu yang menyertai DAP dipergunakan bagi melihatkan parti itu mesra kepada Melayu dan Islam.

Naib Presiden Isma Abdul Rahman Mt Dali berkata, tindakan DAP berkenaan seolah-olah tiada lagi gadis Cina dalam parti itu yang perlu dihargai untuk ditonjolkan.

“Dalam pimpinan DAP mana ada orang Melayu, tetapi tiba-tiba mereka tonjolkan gadis Melayu yang dibahasakan ‘cun’ seolah-olah tidak ada lagi gadis Cina dalam parti itu untuk ditonjolkan.

“Begitu sekali DAP cuba memperdayakan anak muda. Saya katakan ia taktik yang sangat menjijikkan apabila DAP menggunakan gadis Melayu untuk menjadi topeng kepada wajah bahaya perjuangan parti itu terhadap kedudukan orang Melayu dan agama Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syefura Othman, atau lebih mesra dipanggil Rara, baru-baru ini mengakui menjadi ahli seumur hidup DAP selepas Dyana Sofya Mohd Daud dipertaruhkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan Mei lalu.

Rara berkata peluangnya dalam DAP lebih cerah berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR) dan mahu menjemput lebih ramai anak muda Melayu menyertai parti itu.

Abdul Rahman (gambar, kiri) berkata anak muda yang menyertai DAP jelas menunjukkan sifat mereka mudah terpedaya apabila tidak memahami perjuangan Islam di Tanah Melayu dan kontrak sosial di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya pasti, DAP berjuang kerana mahu berkuasa dan mengubah kedudukan orang Melayu dan Islam di tanahair ini.

“Sekiranya mereka faham, pasti mereka tidak akan menyertai DAP dan sanggup melihat bangsa sendiri serta Islam dihakis oleh pihak seperti DAP," katanya.

Akhbar Sinar Harian minggu lalu juga melaporkan Rara menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang "cool" dan bersifat terbuka, kerana itu dia tertarik bersama parti DAP.

Abdul Rahman berkata, "cool" DAP yang dimaksudkannya itu benar-benar menggambarkan betapa jahilnya dia dengan perjuangan DAP.

“Masa dahulu kita tidak boleh pandang lambang roket DAP kerana faham akan perjuangan sosialis dan konsep Malaysian Malaysia parti itu.

"Tetapi kini sudah sampai ke tahap ada anak gadis Melayu, rasa 'cool’ dan sanggup berjuang dalam parti itu. Sebenarnya, itulah petanda kecairan dan reputnya jati diri dalam diri di kalangan sesetengah anak muda Melayu kini," katanya. – 21 Julai, 2014.