Advertisement

DAP nyatakan sokongan penuh pendekatan senyap Najib tangani isu MH17

Pendekatan diplomatik senyap yang digunakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima pujian DAP, malah menyatakan sokongan sepenuhnya di belakang Putrajaya.

DAP menyifatkan langkah yang diambil Najib adalah terbaik bagi menyelesaikan percanggahan mengenai MH17.

"DAP bersetuju dengan Najib bahawa di kawasan konflik dengan pihak berkuasa bertelagah, menggunakan saluran diplomatik secara senyap adalah cara yang baik demi mencapai keputusan yang dikehendaki," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Lim juga berkata mereka menyokong sepenuhnya usaha kerajaan dalam memulangkan jenazah penumpang kepada keluarga masing-masing, di samping menggesa siasatan rapi.

"DAP sedia untuk bersama-sama kerajaan Persekutuan dan menyokong usaha mereka untuk membawa pulang jenazah mangsa kepada keluarga masing-masing supaya majlis pengkebumian yang sempurna boleh dijalankan.

"Serta memastikan siasatan rapi dilakukan demi menjamin keadilan ditegakkan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kehilangan nyawa yang berlaku," katanya.

Najib semalam mengumumkan persefahaman dicapai dengan kumpulan pemisah pro-Rusia di Ukraine untuk memulangkan jenazah mangsa nahas pesawat MH17 serta kotak hitamnya ke Malaysia.

Beliau memberitahu perjanjian dibuat dengan Alexander Borodai, yang mengakui dirinya sebagai perdana menteri yang mengetuai puak pemisah timur Ukraine di daerah Donetsk di mana MH17 terhempas.

Ketika media barat dan negara kuasa besar bertelagah dalam isu MH17, Najib berjaya menggunakan saluran diplomasi untuk menangani tragedi tersebut.

Tragedi MH17 adalah pengalaman buruk kedua yang dihadapi pentadbiran Najib dalam tidak sampai tempoh beberapa bulan.

Berbanding ketika mengendalikan kehilangan MH370, cara Putrajaya menangani kes ini dilihat lebih profesional dan belajar daripada pengalaman lalu.

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada Khamis lalu selepas terbang di laluan kawasan konflik di timur Ukraine dan mengorbankan 298 nyawa, termasuk 15 anak kapal dan tiga bayi. – 22 Julai, 2014.