Advertisement

DAP salah faham tentang senarai Exco, kata PAS Selangor

Kerajaan paksa pengundi kembali ke BN dengan bantuan terpilih, kata Pakatan

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Pertikaian mengenai jawatan Exco Selangor berterusan apabila PAS hari ini mengatakan DAP salah faham berhubung dengan senarai Exco Selangor yang telah dibincangkan oleh Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan pengerusi DAP Selangor Tony Pua semalam mempersoalkan senarai Exco kerajaan negeri yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan mengatakan parti itu seharusnya mendapat empat kerusi Exco berbanding tiga.

“Kita tidak mahu gaduh dengan perkara yang telah diputuskan oleh Sultan Selangor,” kata Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor Khalid Abdul Samad (gambar) yang dipetik daripada akhbar Sinar Harian hari ini.

Khalid juga menjelaskan DAP mungkin salah faham tentang perkara yang diputuskan dalam mesyuarat PR Khamis lalu, dimana Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah masih mempunyai hak untuk memilih enam calon Melayu dan empat calon bukan Melayu di mana Pas mendapat empat tempat di dalam Exco Selangor.

Beliau turut mengakui sememangnya terdapat dua cadangan yang dikemukakan kepada Tuanku serta berpendapat Pua mungkin terlupa tentang keputusan dalam mesyuarat tersebut.

“Saya rasa Tony Pua lupa dengan keputusan yang kita buat dalam mesyuarat itu,” tambah Khalid lagi.

Semalam The Malaysian Insider melaporkan Pua mengatakan Khalid dan PR Selangor — yang diwakili oleh Teresa Kok dan Datuk Teng Chang Kim bersama-sama pemimpin PAS Khalid Samad dan Dr Rani Osman — telah bersetuju dalam mesyuarat Khamis lepas DAP akan mendapat empat tempat dalam Exco dan PAS mendapat tiga dan boleh memilih Speaker Selangor.

Walau bagaimanapun, Abdul Khalid dalam satu majlis kesyukuran di Pandamaran Jaya berkata sebaliknya empat kerusi Exco akan diberikan kepada PAS sementara DAP dan PKR masing-masing mendapat tiga kerusi selain jawatan Speaker diberikan kepada DAP.

Kerajaan PR Selangor sebelum ini bergelut dengan pertikaian melantik siapa yang akan menjadi menteri besar negeri terkaya tersebut, dimana timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali juga difahamkan mengintai jawatan penting di negeri Selangor hingga berlaku sedikit pertikaian tetapi ianya berakhir selepas Abdul Khalid mengangkat sumpah Selasa lalu, lebih seminggu selepas selesai pilihan raya umum 5 Mei.

Khalid, yang ditanya berulang kali untuk mendedahkan senarai Exco yang dipilihnya, mengelak untuk menjawab sama ada Azmin berada dalam senarai itu ataupun tidak.

Khalid telah dilantik semula sebagai menteri besar Selangor untuk penggal kedua selepas Pakatan Rakyat (PR) memenangi majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya 2013 dengan meraih 44 kerusi 56 kerusi DUN.

PAS dan DAP memenangi 15 kerusi setiap satu, manakala PKR pula 14 kerusi.