Advertisement

Draf pindaan Akta Kesatuan Sekerja diteliti supaya selaras TPP

Pemimpin Pakatan botakkan kepala di luar Parlimen tuntut Anwar bebas

Kerajaan akan meneliti semula draf pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 sebelum dibentang di Parlimen bagi memastikan ia relevan dengan situasi semasa, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Beliau berkata meskipun draf awal pindaan akta itu telah siap namun ia perlu mengambil kira cadangan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan yang dijangka dibentang tidak lama lagi, serta beberapa isu yang dibangkitkan dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"Kementerian akan meneliti semula draf bagi memastikan ia selaras dengan pindaan akta itu dan kehendak TPPA serta relevan dengan situasi semasa.

"Cadangan pindaan yang siap kelak akan dipapar dalam laman web untuk mendapatkan maklum balas, sebelum dibentang ke pihak kesatuan serta majikan, dan seterusnya dibawa ke Parlimen," katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) tentang langkah-langkah kerajaan menambah baik Akta Kesatuan Sekerja.

Ismail berkata sebelum pindaan dibuat, kementerian mengadakan beberapa siri perbincangan untuk menyemak dan meneliti peruntukan dalam akta terbabit yang perlu dikaji semula. – Bernama, 30 Oktober, 2014.