Dua maut, 368 selamat dalam tragedi feri karam di Korea Selatan, lapor media

Dua maut, 368 selamat dalam tragedi feri karam di Korea Selatan, lapor media

Pegawai pasukan pengawal pantai Korea Selatan mengesahkan pihaknya menemui dua mayat penumpang dalam insiden feri karam awal hari ini, lapor AFP.

Sekurang-kurangnya 368 lagi berjaya diselamatkan dalam kejadian feri karam di perairan Korea Selatan itu.

Dilaporkan sejumlah 476 penumpang berada di dalam feri ketika kejadian.

Menurut kenyataan yang disampaikan kepada agensi berita AFP, pasukan penyelamat kini sedang bertungkus-lumus menyelamatkan penumpang lain.

Timbalan Menteri berkaitan Keselamatan dan Pentadbiran Awam, Lee Gyeong-Og, pada satu sidang media awal tadi berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan jumlah kematian setakat ini.

"Feri hampir karam sepenuhnya," katanya.

Kapal pengawal pantai Korea Selatan sebelum ini dikerahkan untuk menyelamatkan penumpang, kebanyakannya pelajar sekolah menengah daripada sebuah feri yang sedang karam di persisiran pantai negara itu.

Sejurus berita diterima, kapal pengawal pantai, kapal dagang dan beberapa helikopter dikerahkan dalam operasi menyelamat itu.

Kapal yang membawa penumpang dipercayai dalam perjalanan ke pusat peranginan yang terletak di pulau Jeju mengalami masalah kira-kira 20 kilometer dari persisiran pantai negara itu.

Menurut seorang penumpang, mereka mendengar satu bunyi yang kuat sebelum feri itu terhenti, lapor AFP. – 16 April, 2014.