Dua Peranti Baru Dari Blackberry

Bagi mereka yang tidak mahu telefon yang menggunakan iOS ataupun Android, tidak lama anda akan mempunyai pilihan baru untuk telefon pintar anda. Blackberry telah melancarkan telefon terbaru mereka, Z10 dan juga Q10.

Kalau anda selalu di internet, anda pasti telah melihat gambar-gambar peranti ini tertiris di laman-laman web teknologi. Z10 akan dijual dalam dua warna – putih dan hitam – dan akan dilengkapi dengan skrin sesentuh sepenuhnya. Ianya menggunakan teknologi LCD dan berukuran 4.2 inci. Lebih baik lagi, ianya akan mempunyai resolusi skrin sebesar 1280 x 768 – resolusi yang lebih tinggi daripada skrin iPhone 5.

Di dalam badan aluminium ini Blackberry telah melengkapkan Z10 dengan prosessor dwi-teras dengan kelajuan 1.5GHz (kami tidak tahu siapa pembuat prosessor ini), dengan 2GB RAM dan juga storan dalaman 16GB. Anda juga boleh menambah storan melalui slot microSD yang menyokong sehingga 32GB.

Untuk merakam imej Z10 mempunyai kamera dengan sensor 8 megapiksel yang juga boleh merakam video 1080 dengan senang. Buat pertama kalinya Blackberry datang dengan perisian yang dipanggil Time Shift, di mana ianya akan mengambil beberapa gambar secara berturutan, dan pengguna boleh memilih gambar mana yang akan disimpan, dan juga memilih bahagian terpilih pada gambar yang boleh diganti dengan bahagian gambar yang lain – jika subjek anda tertutup mata dalam satu gambar tetapi komposisinya bagus, tukar saja muka ke yang mempunyai mata yang terbuka.

Melengkapkan pakej yang cantik ini, ianya mempunyai port microUSB, micro HDMI dan juga NFC.

Jika anda masih kepingin akan papan kekunci QWERTY, Blackberry masih sayangkan anda, dan melancarkan model Q10. Sekali pandang ianya nampak seperti Bold 9900 tetapi kurang satu barisan butang.

Dengan skrin berukuran 3.1 inci, ianya masih mempunyai resolusi yang tinggi – 720 x 720. Skrin ini juga permukaan sesentuh. Ianya juga akan menggunakan sistem operasi BB10, dan juga berkongsi perkakasan dengan model Z10 – prosessor yang sama, jumlah storan yang sama dan juga buat pertama kali untuk model QWERTY Blackberry, sambungan micro HDMI.

Kedua-dua model ini akan datang ke pasaran tidak lama lagi – Malaysia tersenarai di dalam negara yang terpilih semasa majlis pelancaran, akan tetapi kami tidak tahu siapa akan membawa masuk model ini dan juga berapa harganya.

Mari kita tunggu bersama-sama untuk pelancaran tempatan mereka – yang dijangkakan akan berlangsung pada 20 Februari ini!