Empat tahun menunggu, guru tadika masih bergelut hak penjagaan anak

Court gives specific order to police to hand over daughter to Hindu mother

Guru tadika, M Indira Gandhi mendidik kanak-kanak sejak beberapa tahun lalu di Ipoh namun fikirannya tetap tertumpu kepada seorang kanak-kanak iaitu anak perempuannya, Prasana Diksa yang tidak ditemuinya sejak empat tahun lalu.

"Dia selalu dalam ingatan saya. Tiada sehari pun berlalu tanpa mengenang atau bercakap tentangnya," katanya kepada The Malaysian Insider.

Perjuangan mendapatkan hak penjagaan anak bermula selepas semua tiga anaknya yang beragama Hindu sejak dilahirkan memeluk Islam bersama bekas suaminya pada 2009.

Walaupun Indira sudah bercerai, namun mencari cinta baru adalah perkara terakhir yang terlintas di hatinya meskipun ada pihak yang mahu mengisi kekosongan hidupnya.

Indira dan bekas suami, K Pathmanaban, berkahwin pada 1996 walaupun menerima tentangan keluarga dan pada ketika itu Indira hanya berusia 21 tahun.

Lima tahun mendirikan rumah tangga, hubungannya menjadi berantakan apabila suami yang tidak bekerja gagal menjalankan tanggungjawab malah menjalinkan hubungan sulit dengan perempuan Thailand.

"Dia juga menanggung hutang. Pada mulanya, dia mengajak untuk memeluk Islam bersama kerana akan mendapat wang dan tanah. Dia terdesak dan saya tidak mahu semua itu.

"Dia meninggalkan rumah pada suatu petang dalam keadaan mabuk setelah mengambil dokumen dan anak. Itulah kali terakhir saya melihatnya," katanya merujuk kepada anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa.

Selepas memeluk Islam pada Mac 2009, Pathmanathan yang kemudiannya dikenali sebagai Muhammad Ridzuan menukarkan agama tiga anak mereka kepada Islam di Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Perak yang kemudian mendapat hak penjagaan daripada Mahkamah Syariah.

Pasangan itu kemudiannya berpisah dan Muhammad Ridzuan membawa Prasana bersamanya ketika anak itu berusia 11 bulan.

Indira kemudian mengambil tindakan mahkamah bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang membenarkan penukaran agama anaknya itu.

Pada Julai tahun ini, Mahkamah Tinggi membatalkan pernukaran agama anaknya kepada Islam namun sehingga ke hari ini, bekas suaminya tidak memulangkan Prasana yang kini berusia 5 tahun kepada Indira.

Sejak insiden 2009, kehidupannya kini menjadi semakin mencabar namun kekuatannya didukung oleh dua anaknya, Tevi Darsiny, 16, Karan Dinish, 15, selain sokongan anggota keluarga.

Indira berkata, Tevi Darsiny mendukung Prasana di laman rumah ketika bapanya merampas Prasana dan membawanya pergi.

Meskipun kekosongan dirasainya kerana sudah lama tidak bertemu dengan anak bongsunya sejak empat tahun lalu, Indira berkata, dia bekerja sepanjang hari bagi merealisasikan pertemuan itu.

“Saya seorang guru tadika pada siang hari dan mengajar kelas tambahan pada sebelah malam. Kami hanya menyewa rumah dan tidak boleh membuat pinjaman kerana saya diisytiharkan muflis,” katanya yang memberitahu kemuflisannya disebabkan bekas suami yang tidak membayar ansuran kereta.

“Ia bukan tentang kaum atau agama tetapi memisahkan ibu dengan anaknya,” katanya.

Indira berkata, dua anaknya lebih gembira tanpa kehadiran bapa mereka namun kehadiran Prasana amat dirindui bagi melengkapkan keluarga itu kembali.

“Pernah pada suatu malam, saya membuat laporan polis dan menanti di balai mengharapkan anak saya dapat ditemui. Sejak itu, saya membuat 15 laporan polis walaupun tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.

Katanya, dia hanya mengetahui bekas suaminya memeluk Islam semasa tiba di balai polis.

“Selepas mengambil Prasana, dia meminta kami ke Jabatan Agama Islam untuk mengambil Prasana tetapi apabila tiba di sana, dia menunjukkan perintah mahkamah Syariah. Sejak itu, saya tidak mempercayainya lagi,” katanya sambil menggelengkan kepala.

Indira berkata, dia sanggup menunggu berapa lama sekalipun asalkan Prasana kembali ke pangkuannya.

“Saya rasa dia tinggal di Kelantan dan mungkin tidak lagi bercakap Tamil serta tidak mengenali saya. Sebagai seorang guru tadika, saya akan membawanya ke sekolah setiap hari dan mengubah persepsi itu,” katanya sambil melemparkan senyuman.

Abang ipar Indira, R Sugumar yang menemaninya sebelum perbicaraan semalam berkata, dia mencadangkan Indira untuk berkahwin lagi.

Indira yang menolak cadangan itu berkata: “Itu adalah perkara terakhir dalam fikiran. Saya perlu membesarkan anak-anak dan menunggu kepulangan Prasana. Kemudian baru boleh bercakap tentang masa depan.”

Semalam, Indira berharap disatukan kembali bersama Prasana di mahkamah namun hasratnya tidak tercapai.

Muhammad Ridzuan meminta penangguhan perbicaraan sehingga 24 Januari.

“Saya berharap dapat bertemu anak saya nanti,” katanya. – 23 November, 2013.