Enggan bayar bonus, dividen, peneroka buat laporan polis terhadap Felda

Enggan bayar bonus, dividen, peneroka buat laporan polis terhadap Felda

Sebanyak 20 peneroka Felda dari Gugusan Bera dan Rompin membuat laporan Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam ekoran dinafikan wang dividen FGV dan saguhati hari raya berjumlah hampir RM1,000.

Mereka adalah sebahagian daripada lebih 1,000 peneroka seluruh negara yang tidak dibayar sebagaimana sepatutnya, meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya pada 6 Julai 2014 lalu menyebut dengan jelas 112,635 orang peneroka layak menerimanya.

"Ia bertentangan dengan hak asasi dan perlembagaan negara yang membenarkan setiap warganegara mendapatkan haknya mengikut saluran undang-undang," kata Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman (gambar) dalam satu kenyataannya, lapor Harakahdaily.

Beliau berkata, tindakan Felda atas alasan peneroka menyaman Felda kerana isu Kadar Perahan (KPG) dan lain-lain tidak berasas dan zalim.

Felda sebelum ini, mengumumkan 'durian runtuh' kepada peneroka Felda sempena Aidilfitri menerusi pembayaran dividen saham individu dan dividen tabung amanah daripada FGV.

Namun, Felda memaklumkan peneroka yang terlibat dalam kes saman agensi itu tidak akan dibayar duit raya dan dividen FGV.

Susulan itu, beribu peneroka tidak mendapat hak kerana terlibat menyaman Felda.

Mazlan berkata, usaha peneroka Felda membuat laporan polis wajar setelah Felda bertegas enggan membayar saguhati Aidilfitri dan dividen FGV seperti mana sepatutnya.

"Bukan saja enggan berunding, peneroka dihamburkan kata-kata yang amat mengguris perasaan.

"Saya membuat perbincangan dengan pasukan peguam Anak dan setelah meneliti kes ini, ada asas yang kuat untuk mengambil tindakan terhadap pengurusan Felda," katanya.

Bagi tujuan membantu peneroka mendapatkan wang berkenaan, Anak menubuhkan satu pasukan khas diketuai Pengerusi Ngo Anak Pahang Yohanis Ahmad untuk mengumpul semua maklumat peneroka seperti dikehendaki peguam.

Beliau boleh dihubungi di talian 0133039913.

"Sikap berdendam Felda nampaknya tidak reda walaupun pada bulan Ramadan.Maka, langkah membuat laporan polis dan tindakan undang-undang terpaksa dilakukan kerana itulah pilihan yang ada," katanya. – 25 Julai, 2014.