Esok mati, minta ampun pada saya, kata Rosmah kepada pengkritik

Esok mati, minta ampun pada saya, kata Rosmah kepada pengkritik

Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyelar pihak tertentu yang memberi persepsi negatif dirinya membangunkan program Permata ‎Negara, kerana ia dilakukan semata-mata demi melihat kejayaan pendidikan anak-anak bangsa.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu berkata,‎ persepsi negatif membuatkannya semakin cekal kerana apa yang dilakukan program itu adalah ikhlas kerana Allah.

"Kalau dengar itu, jangan percaya. Saya memang secara ikhlas menyatakan program in‎i bukan untuk saya, tetapi untuk anak bangsa kita maju dalam pendidikan mereka.

"Tetapi tak apalah saya cekal. Saya ikhlas. Saya tahu apa yang saya buat ini ikhlas kerana Allah. Apa dia hendak kata, dia katalah.

"Esok kalau dia mati, dia minta ampunlah pada saya. Orang bukan suka kita berjaya," katanya ketika berucap di Majlis Konvokesyen Picoms kali ke-2 di PWTC.

Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff dari PAS ketika di Dewan Rakyat pada Jun lalu membangkitkan persoalan kepada kerajaan mengapa tidak diperkukuhkan agensi seperti Kemas dan Tadika sebaliknya memilih untuk membangunkan Permata Negara yang dinaungi Rosmah.

Beliau bertanya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim adakah Permata Negara agenda untuk menaikkan nama isteri perdana menteri.

Shahidan berkata Permata Negara bukan bertujuan untuk menaikkan nama Rosmah sebaliknya untuk menaikkan nama Malaysia dan isteri perdana menteri tidak menerima gaji untuk melakukan tugas tersebut.

Rosmah berkata rakyat secara keseluruhannya perlu menyedari bahawa peruntukkan untuk program Permata Negara bukanlah disalurkan kepada dirinya sebaliknya kepada kementerian berkaitan.

Katanya, persepsi negatif terhadap dirinya perlu dihentikan kerana Permata Negara ditubuhkan bertujuan murni bagi membela nasib anak-anak di luar bandar.

"Kalau perdana menteri masukkan dalam bajetnya, Permata Negara, janganlah kata Rosmah punya. Ini bukan saya punya tetapi untuk anak kita semua.

"Saya tidak dapat satu sen pun. Macam-macam orang bercerita bercakap saya dapat inilah. Ini Najib, tu Rosmah punya.

"Duit pun saya tak nampak. Semua disimpan Kementerian Kewangan. Saya ini membela nasib anak-anak dari luar bandar. Jadi janganlah marah dekat saya pula," katanya.

Beliau menyeru rakyat tidak mudah percaya kepada apa yang ditulis di blog mengenai kritikan negatif terhadap dirinya mengenai Permata Negara.

Katanya, apa jua usaha murni yang dilakukan kerajaan akan mendapat tentangan pihak tertentu maka ia perlu dianggap sebagai cabaran bagi mengecapi kejayaan.

"Apa yang dia cakap kat blog tu jangan percaya. Blog tu memanglah dia tak suka anak-anak kita berjaya. Siapa yang angkat Permata Negara ni, inilah Rosmah buat. Dia tak suka.

"Kalau kita berjaya bukan semua orang suka tengok kita berjaya. Yang mana tak seronok tu, dia mengatalah kita macam-macam," katanya. – 1 September, 2014.