Advertisement

Kesemua 156 anggota peronda sukarela Pulau Pinang bebas

Kesemua 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan semalam kini bebas selepas 135 daripada mereka dibebaskan atas jaminan polis malam ini.

Mereka termasuk pengerusi Jawatankuasa Persekitaran dan Kesejahteraan Masyarakat (exco) Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang dibebaskan petang tadi.

Menurut sumber polis, Phee dan ahli PPS sudah memberi kenyataan berhubung siasatan polis ke atas pertubuhan itu.

Sejurus pembebasannya, Phee disambut oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli exco negeri yang berkumpul menunggu perkembangan kes berkenaan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Beliau kelihatan tidak dapat menahan sebak, dan mengucapkan terima kasih kepada sahabat, penyokong dan petugas media di atas sokongan selama ditahan sejak semalam.

"Jika saya ditahan demi kebaikan Pulau Pinang, saya rela membuat pengorbanan ini," katanya.

Sementara itu, Lim mengucapkan terima kasih kepada 21 peguam yang membantu tahanan.

Salah seorang anggota Pasukan Peronda Sukarela mengangkat tangan sejurus dibebaskan, petang tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 1 September, 2014.
Salah seorang anggota Pasukan Peronda Sukarela mengangkat tangan sejurus dibebaskan, petang tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 1 September, 2014.

Awal hari ini, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengumumkan mereka yang ditahan akan direman sehingga esok bagi penyiasatan.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap seluruh ahli PPS.

"Kami menahan reman Phee dan 155 anggota berusia di antara 18 dan 67 tahun sehingga esok mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966. Tujuh daripada mereka terdiri daripada wanita.

"PPS merupakan pertubuhan haram dan kami akan menahan setiap ahlinya. Tiada tarikh akhir. Maka, saya menggesa ahli berkenaan menyerah diri kepada polis."

Abdul Rahim berkata, siasatan awal menunjukkan 11 ahli yang ditahan mempunyai rekod jenayah, termasuk empat diuji positif dadah.

Katanya, walaupun seorang daripada mereka pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat, polis tetap akan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan itu.

Abdul Rahim berkata ahli PPS dengan rekod jenayah pernah dituduh di bawah Seksyen 304, 379, 380 dan 392 Kanun Keseksaan serta beberapa kesalahan dadah dan melanggar undang-undang kastam.

“Sesetengah mereka memiliki rekod cuba membunuh, mencuri, pecah rumah dan merompak. Suspek yang merupakan bekas tahanan EO pernah ditahan atas kesalahan dadah sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah polis merampas 153 kemeja T ungu PPS dan 154 beret dengan logo kerajaan negeri beserta pakaian seragam, bendera PPS, Jalur Gemilang, bendera Pulau Pinang, kad keahlian dan walkie talkie.

Mereka yang ditahan terdiri daripada penjawat awam, bekerja sendiri dan pelajar, kata Abdul Rahim.

14 lelaki dan tujuh wanita dibebaskan dengan jaminan polis awal pagi ini.

Ditanya sama ada kerajaan negeri sudah menyerahkan senarai nama ahli kepada polis untuk tujuan rekod jenayah, beliau tidak mengiyakannya.

Abdul Rahim turut menafikan polis dan PPS bekerjasama mengawal jalan negeri.

“Saya tidak mahu terlibat dalam cabaran yang dilemparkan dalam hal ini.

“Kami melihat isu ini dari aspek perundangan dan bukan dari sudut politik,” katanya mengulas mengenai isu keabsahan PPS seperti dibangkitkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Khalid dan Lim. – 1 September, 2014.