Filipina menang Ratu Cantik Dunia 2013

Filipina menang Ratu Cantik Dunia 2013

Peserta dari Filipina dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Ratu Cantik Dunia 2013 dalam pusingan akhir yang dianjurkan di Bali, Indonesia.

Megan Young menewaskan lima calon akhir ratu cantik yang lain termasuk dari Perancis dan Brazil untuk memenangi pertandingan tersebut yang disiarkan secara langsung di 180 negara seluruh dunia, di tengah ketegangan ekoran bantahan besar-besaran terhadap penganjuran pertandingan itu.

Megan, 23, berjanji untuk “menjadi diri sendiri dan berkongsi apa sahaja pengetahuan yang ada demi membantu mereka yang memerlukan”.

Kebenaran untuk menganjurkan pertandingan di negara yang mempunyai populasi penduduk Islam terbesar di dunia itu menimbulkan kemarahan penduduk negara itu.

Lokasi pertandingan tersebut yang terletak di Nusa Dua, selatan Bali dikawal rapi dengan sejumlah besar polis dan juga trak air penyurai rusuhan.

Ribuan hadir membantah penganjuran pertandingan ratu cantik tersebut.

Bagaimanapun anggota kumpulan radikal Barisan Pembela Islam yang sebelum ini berikrar untuk menganjurkan bantahan besar-besaran tidak melaksanakan rancangan mereka.

Kumpulan itu sebaliknya menganjurkan solat beramai-ramai di sebuah masjid di luar Jakarta bagi meluahkan bantahan mereka. - 29 September, 2013.