Gereja jangan cari masalah, kalimah Allah eksklusif untuk Muslim, kata bekas menteri KDN

KL-Singapore high speed rail project to start in 2016

Pihak gereja harus menghormati bahawa kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam kerana ia merujuk kepada konsep Allah yang Maha Esa, kata Tan Sri Syed Hamid Albar.

Bekas menteri dalam negeri itu berkata sebarang usaha pihak gereja untuk menggunakan kalimah itu hanya akan menimbulkan rasa salah faham di kalangan masyarakat.

“Sebelum itu pun, kefahamannya kalimah Allah untuk orang Islam tetapi selepas Herald gunakan keluar arahan kepada mereka larangan untuk menggunakannya.

“Bagi orang Islam ia bukan sekadar kalimah, tetapi penyataan kepercayaan. Bila mereka sudah lalui proses mahkamah, hormatilah keputusan mahkamah. Tidak kisahlah apa jua keputusan mahkamah," katanya kepada The Malaysian Insider.

Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) pada bulan lalu memutuskan untuk terus menggunakan kalimah Allah walaupun Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menolak rayuan akhbar mingguan Herald.

Presidennya, Dr Eu Hong Seng berkata pihak Kristian kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan kerana terdapat kelemahan dalam penghakiman lepas.

Katanya, penganut Kristian akan tetap menggunakan kalimah Allah dalam ibadah mereka sambil menyifatkan keputusan tersebut hanya terhad dalam kes tertentu.

"Kami terus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan hujah dalam membuat keputusannya kerana ia begitu kritikal di dalam banyak aspek.

"Masyarakat Kristian mempunyai hak untuk terus menggunakan kalimah Allah di dalam Al-Kitab, ibadah gereja dan perhimpunan Kristian dalam jemaah Bahasa Melayu kami, seperti yang kita lakukan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

Syed Hamid berkata pihak gereja tidak seharusnya mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan kerana ia akan menjejaskan keharmonian kaum.

Katanya, keharmonian negara ini ditunjangi dengan rasa hormat dan saling mempercayai maka tidak perlu kalimah Allah dikelirukan di Malaysia.

“Tidak kisahlah keputusannya 4-3 atau sebaliknya. Itu bukan soalnya. Proses kehakiman pun sudah dibuat.

“Negara ini akan lebih aman dan harmoni jika kita hormati keluhuran Perlembagaan. Jika semuanya dikelirukan, apa kesannya?

“Jika mereka tetap mahu mencabar, maka kita akan berdepan akibat salah faham dan sebagainya," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata penganut Kristian tidak seharusnya menimbulkan masalah di negara ini dan cuba menyinggung perasaan umat Islam yang sememangnya memuliakan kalimah Allah.

Katanya, keadilan hanya akan dapat dijulang jika tiada berlaku salah faham antara kaum dalam negara ini.

“Ini penyataan kepercayaan dan jika mereka cabar, kita perlu berhati-hati supaya mereka tidak melahirkan suasana di mana menyinggung perasaan dan membangkitkan masalah di kemudiannya.

“Kita hairan macam mana daripada Lord, God, mereka terjemah kepada Allah dalam bahasa Melayu?

"Kita tidak boleh merujuk Indonesia kerana sistemnya berlainan. Suratkhabar pun mereka panggil Koran," katanya.

Semalam, badan bukan kerajaan (NGO) Islam liberal mendakwa penganut Kristian tidak bersendirian dalam memperjuangkan kalimah Allah kerana mereka turut mendidik masyarakat bahawa kalimah itu muncul sebelum kedatangan Islam ke negara ini.

Sisters in Islam (SIS) dan Islamic Renaissance Front (IRF) berkata mereka menggunakan media sosial untuk mendidik masyarakat dan membawakan pandangan yang berbeza daripada apa yang diperjuangkan Perkasa dan Isma.

Ketua IRF Dr Ahmad Farouk Musa berkata usaha mereka menyokong hak gereja menggunakan kalimah itu adalah rintangan sukar kerana orang Melayu enggan berfikiran jauh dan hanya menumpukan kepada persoalan halal atau haram.

"Mereka sangat ortodoks dan konvensional dalam usaha memahami Islam. Mereka tidak memahami haluan abad ke-21,” katanya kepada The Malaysian Insider. – 10 Julai, 2014.