Guan Eng pertahan peronda sukarela Pulau Pinang selepas dituduh tersasar objektif

Lim Guan Eng hari ini mempertahankan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang selepas amaran Ketua Polis Negara semalam, dengan berkata unit itu tidak pernah tersasar dari objektif asal berkhidmat kepada masyarakat dan menghulurkan bantuan kepada orang ramai.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu mempersoalkan samada PPS yang mempunyai keanggotaan hampir 10,000 orang itu wajar dihukum semata-mata atas kesalahan seorang ahli.

"Jika begitu, adakah keseluruhan 120,000 anggota patut terima hukuman kerana kesalahan jenayah, memukul orang awam, menyebabkan kematian dalam lokap dan ketika soalsiasat, yang dilakukan beberapa anggota polis?" soal beliau.

Semalam, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar, kanan) berkata polis akan mengambil tindakan menangkap anggota PPS sekiranya mereka meneruskan aktiviti.

Khalid dilaporkan berkata PPS dilihat terpesong dari tujuan sebenar ia ditubuhkan empat tahun lalu iaitu berkhidmat kepada masyarakat.

"PPS telah mula memukul orang, ada wartawan telah dipukul, malah ada orang tak setuju dengan mereka, telah dibelasah mereka... sekurang-kurangnya dua laporan polis telah diterima daripada orang ramai dan pemberita yang dibelasah," katanya.

Lim mendakwa Khalid berbohong apabila mengatakan PPS tersasar dari objektif penubuhannya.

"Khalid buat dakwaan itu berdasarkan laporan yang menuduh ahli PPS menyerang beberapa individu termasuk wartawan," katanya.

"Sekiranya benar ada insiden jenayah melibatkan anggota PPS, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Kami tidak setuju dengan tindakan begitu dan tidak akan mempertahankan mereka," katanya sambil menambah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco)Pulau Pinang, Phee Boon Poh bertanggungjawab dalam hal ini.

"Dia mengambil sepenuh tanggungjawab memastikan sekiranya ada salahlaku melibatkan anggota PPS, mereka tidak akan terlepas dari menerima hukuman," kata Lim.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata berikutan "ancaman buli" oleh Khalid itu, kerajaan negeri menyediakan pasukan peguam bagi membela anggota PPS sekiranya ditahan polis.

Katanya, pasukan peguam itu disediakan untuk anggota PPS yang ditahan bukan atas kesalahan jenayah, sebaliknya kerana menjaga kepentingan awam.

Beliau turut berkata, PPS tidak didaftarkan di bawah pertubuhan kerana ia ditubuhkan oleh kerajaan negeri, sama seperti Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dibentuk kerajaan di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

"Kenapa perlu 'double standard' terhadap PPS oleh ketua polis negara?" soalnya.

Katanya kerajaan negeri sanggup ke mahkamah mempertahankan hak dan kuasa menubuhkan PPS sama seperti penubuhan JKKK bagi melaksanakan pemantauan awam.

"Biarkan satu dunia melihat, polis Malaysia menahan bukan penjenayah, tetapi anggota PPS kerana membantu orang yang dalam kesusahan," kata Lim. – 30 Ogos, 2014.