Guna Akta Hasutan ancam lawan boleh beri kesan buruk kepada ekonomi, kata pemimpin PKR

Guna Akta Hasutan ancam lawan boleh beri kesan buruk kepada ekonomi, kata pemimpin PKR

Ekonomi negara yang mencatatkan prestasi baik ketika ini akan terjejas akibat tindakan Putrajaya menekan lawannya menggunakan Akta Hasutan, kata ahli Parlimen PKR Wong Chen hari ini.

Jika laporan mengenai operasi besar-besaran menggunakan akta tersebut mula dihidu media luar, wakil rakyat Kelana Jaya itu tidak menolak ekonomi negara juga akan terkena tempiasnya.

"Kesan pendakwaan hasutan ini boleh memberi kesan daripada sudut ekonomi apabila media luar negara mula menghidu apa yang berlaku dalam Malaysia.

"Ia akan memberi kesan signifikan kepada ekonomi negara," kata Wong, yang juga ketua Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Wong juga membidas penggunaaan akta tersebut ke atas ahli politik dan pihak yang lantang mengkritik kerajaan, serta menggesa pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) bersama membantah tekanan sedemikian.

"Ia mempunyai kesan dalam menegakkan undang-undang. Golongan teknokrat dalam BN perlu menghentikan perkara ini. Di mana keadilan dan kesaksamaan?" katanya.

Bank Negara melaporkan Malaysia mencatatkan prestasi kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.3% bagi 6 bulan pertama 2014, berbanding 4.4% yang dicatatkan dalam tempoh yang sama setahun lalu.

Ekonomi negara juga dijangkan tumbuh melebihi 5.5% bagi tahun ini ekoran prestasi kukuh yang dicatatkan dalam enam bulan pertama 2014.

Prestasi baik ini disumbang oleh keadaan dalaman dan luaran yang baik.

Dalam masa dua minggu lepas, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat didakwa mengikut Akta Hasutan termasuk Rafizi Ramli dan N Surendran daripada PKR, Khalid Samad (PAS) dan RSN Rayer (DAP).

Wakil rakyat lain yang dituduh mengikut Akta Hasutan ialah Teresa Kok (DAP) dan Chua Tian Chang (PKR), sementara Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS) didakwa atas tuduhan membuat fitnah dua tahun lepas.

Semua wakil rakyat ini berdepan kemungkinan hilang jawatan jika mahkamah menjatuhkan denda RM2,000 atau lebih atau hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun. – 3 September, 2014.