Advertisement

Imigresen tiada kuasa batal pasport Alvin dan Ali, kata peguam

Putrajaya tidak berhak menarik semula pasport rakyat Malaysia, kata peguam, dan menambah tindakan sedemikian bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka berpendapat, keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 berkenaan "kebebasan peribadi" di bawah Artikel 5 merangkumi hak warganegara Malaysia ke luar negara dengan pasport yang sah.

Kenyataan itu dikeluarkan sejurus Jabatan Imigresen semalam mengumumkan menarik balik pasport Malaysia milik blogger seks Alvin Tan dan aktivis Ali Abd Jalil yang mencari suaka politik di luar negara.

Peguam berkata, jabatan berkenaan seharusnya membatalkan tindakan berkenaan untuk menunjukkan rasa hormat terhadap keputusan mahkamah.

Sebaliknya, para peguam berkenaan turut mencadangkan agensi penguatkuasa menghentikan para penjenayah termasuk mereka yang sedang menghadapi pendakwaan daripada melarikan diri ke luar negara.

Peguam R. Kengadharan (gambar, kanan) berkata, mana-mana undang-undang yang diluluskan Parlimen, termasuk Akta Pasport, akan terbatal sekiranya bercanggah dengan Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi di negara ini.

"Jabatan itu melangkaui batasannya dan bertindak bertentangan dengan keadilan," katanya.

Kengadharan berkata, dua individu yang terbabit boleh memohon kepada mahkamah dan menuntut jabatan itu mematuhi undang-undang yang ditafsir mahkamah.

Mereka berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim yang berkata, tindakan Alvin dan Ali ini sudah tidak boleh "ditoleransi" lagi.

"Kita tidak akan bertoleransi dengan mana-mana individu yang menghina sistem kehakiman dan raja-raja Melayu," kata Mustafa, dan menambah, notis akan dihantar menerusi surat berdaftar ke alamat terakhir mereka di Malaysia untuk memaklumkan mereka mengenai tindakan itu.

“Selain menghantar notis, kita juga akan meletakkan pengumuman dalam akhbar tempatan mengenai keputusan jabatan ini.

“Kedua-dua individu itu juga disenaraihitamkan dalam pangkalan data kami, maka mereka perlu ada keizinan khas untuk kembali ke tanah air,” katanya.

Peguam S. N. Nair berkata, tiada peruntukan dalam Akta Pasport yang membolehkan Mustafa membatalkan pasport yang diperolehi rakyat Malaysia secara sah.

"Ketua pengarah kelihatan melangkaui bidang kuasanya," katanya.

Nair berkata, pendakwaraya boleh memohon menggantung pasport mereka dan menghalang mereka untuk ke luar negara secara sah.

"Kedua-dua mereka boleh disekat daripada ke luar negara namun hak mereka untuk memiliki pasport sekarang dilanggar kerana mengeluarkan kenyataan terhadap pihak berkuasa," katanya.

Nair berkata, kerajaan boleh memohon bantuan ekstradisi daripada negara di mana mereka berada dan mendakwa mereka di Malaysia.

Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar, kiri) turut mempersoalkan akta yang digunakan Mustafa dalam tindakan beliau.

Beliau berkata, jabatan itu melanggar Artikel 9 Perlembagaan Persekutuan kerana menghalang warganegara berikutan rampasan dokumen perjalanan ketika mereka berada di luar negara.

"Mereka kini tidak boleh kembali ke Malaysia tanpa dokumen khas," katanya.

Ambiga berkata, kedua-dua mereka juga tidak boleh memasuki negara ketiga tanpa pasport.

Peguam berkata, adalah salah dan berlaku penyalahgunaan kuasa kerana suara mereka tidak didengar.

"Tiada kerajaan yang bertanggungjawab berkelakuan sedemian terhadap rakyatnya," katanya.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen (gambar, kanan) berkata, tindakan terhadap dua individu itu keterlaluan.

Beliau berkata, kerajaan juga terlalu memikirkan perkara remeh dengan mengambil tindakan terhadap dua individu berkenaan kerana mengkritik dan menghina institusi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Menarik balik pasport ini tidak munasabah kerana ia tidak selari dengan kesalahan yang dilakukan mereka," katanya.

Alvin dan Ali juga, katanya, kini menjadi individu tanpa sebarang dokumen di luar negara berikutan penarikan semula pasport mereka.

Peguam Annou Xavier berkata, alasan Putrajaya boleh diterima untuk mengambil tindakan terhadap mereka kerana menghina raja Melayu, namun tindakan itu tidak betul jika mahu mempertahankan sistem kehakiman.

"Mahkamah mempunyai toleransi yang tinggi dan tidak memerlukan kuasa eksekutif dan penjawat awam untuk melindungi mereka," katanya.

Peguam Negara boleh mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap mereka yang tidak menghormati mahkamah.

Alvin semalam mencabar Zahid menarik balik pasport miliknya.

"Jangan hanya ancam. Buat saja. Jangan jadi pengecut,” tulisnya di laman Facebook sebagai respon terhadap kenyataan Zahid pertimbang langkah itu kerana Alvin mengkritik keputusan Sultan Selangor menarik balik gelaran yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahid berkata Jabatan Imigresen ada kuasa membatalkan pasport Alvin kerana dokumen itu bukan hak peribadi.

Ali Abd Jalil dan Alvin Tan, kini di luar negara memohon suaka politik. – Gambar The Malaysian Insider, 9 Disember, 2014.
Ali Abd Jalil dan Alvin Tan, kini di luar negara memohon suaka politik. – Gambar The Malaysian Insider, 9 Disember, 2014.

Alvin kini berada di Los Angeles, California sementara Ali di Sweden, di mana kedua-duanya mencari suaka politik sejak Oktober.

Ali berdepan 3 tuduhan hasutan kerana didakwa menghina kesultanan Johor dan Sultan Selangor dalam kiriman Facebook.

Ali kali pertama ditahan pada 8 September dan berada di bawah tahanan polis di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Pada 23 September, dia dibebaskan selepas membayar ikat jamin RM8,000 di kompleks mahkamah Shah Alam.

Kebebasannya hanya sementara apabila dia ditahan semula dan dibawa ke Johor, kerana laporan polis lain dibuat terhadapnya.

Susulan itu, Amnesty International menggelarnya banduan teraniaya (prisoner of conscience), dan berkata tindakan itu bagi memastikan dia tidak terus dihukum atau menghadapi pendakwaan terpilih. – 9 Disember, 2014.