Indeks pendidikan global kecewa UM, UKM tidak sertai kajian

Dua institusi pendidikan terunggul Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tidak mengemukakan data kepada World University Rangkings 2014-2015, menyebabkan kedua-duanya tidak dinilai, menurut sebuah indeks pendidikan global.

Empat universiti Malaysia lain menghantar data mereka namun tidak berjaya tersenarai dalam kedudukan 400 teratas yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) semalam.

"Ini amat mengecewakan kerana mereka sebenarnya menghalang Malaysia daripada memperoleh penanda aras standard sebenar bagi pendidikan tinggi berbanding negara lain di dunia, dan mengenal pasti bahagian mana yang perlu diperbaiki," editor THE, Phil Baty memberitahu The Malaysian Insider.

Dalam satu jawapan segera terhadap komen Baty, Timbalan Pengarah Eksekutif (Penilaian Prestasi) Pusat Strategik UKM, Profesor Madya Ir. Dr Masturah Markom memberitahu The Malaysian Insider, pihak universiti lebih suka memberi tumpuan kepada kedudukan yang lebih sesuai dengan hala tujunya.

"Kedudukan ini (THE) mempunyai penunjuk yang berbeza dan ia lebih sesuai bagi universiti yang ditubuhkan lebih lama.

"Petunjuk seperti 'pendapatan industri' adalah tidak adil kepada kita kerana pendapatan industri Malaysia tidak banyak seperti di Amerika Syarikat, sebagai contoh. Kita tidak boleh bersaing dengan mereka jadi adalah lebih baik jika kita menumpukan kedudukan lebih sesuai dengan hala tuju dan tumpuan kita," katanya merujuk kepada kedudukan dalam QS (Quacquarelli Symonds) Ranking.

Bulan lalu, Universiti QS World Rankings mendedahkan bahawa UKM mendapat kedudukan ke-259, naik 10 tempat dari tahun lepas. UM kini menduduki tempat ke-151.

Kriteria QS menilai kedudukan universiti adalah reputasi akademik, majikan, nisbah pelajar terhadap fakulti, kertas penyelidikan bagi setiap fakulti, pengantarabangsaan dan pelajar program pertukaran.

Universiti Malaya dipercayai memilih menyertai penilaian melalui QS Ranking yang dirasakan lebih sesuai berbanding THE.  – Gambar The Malaysian Insider, 2 Oktober, 2014..
Universiti Malaya dipercayai memilih menyertai penilaian melalui QS Ranking yang dirasakan lebih sesuai berbanding THE. – Gambar The Malaysian Insider, 2 Oktober, 2014..

UM masih belum memberi komen ketika dihubungi The Malaysian Insider. Namun sebelum ini, sumber UM memberitahu mereka juga memilih menyertai penilaian melalui QS Ranking yang dirasakan lebih sesuai berbanding yang lain-lain, termasuk THE.

Universiti barat menguasai 10 tempat teratas bagi World University Rankings 2014-2015, dengan Institut Teknologi California kekal tempat teratas bagi empat tahun berturut-turut, diikuti Universiti Harvard di tempat kedua.

Universiti Oxford di tempat ketiga, diikuti Univeriti Stanford dan Universiti Cambridge (UK) di tempat keempat dan kelima.

Kedudukan universiti teratas di Asia ialah Universiti Tokyo, di kedudukan ke-23, dan Universiti Kebangsaan Singapura, di tempat ke-25.

"Ia merupakan tahun yang kukuh untuk Asia. Asia kini mempunyai 24 universiti dalam kedudukan 200 teratas di dunia, meningkat daripada 20 pada tahun lepas. Dua universiti Asia kini tersenarai dalam 25 teratas di dunia dan enam berjaya tersenarai dalam kedudukan 50 teratas," kata Baty.

Negara Asia lain yang mewakili 400 teratas dalam senarai itu termasuk Korea Selatan, China, Hong Kong, Taiwan, India, Iran dan Thailand.

Universiti Malaysia, bagaimanapun, tidak pernah berjaya tersenarai dalam kedudukan 400 ke atas sejak permulaan kedudukan pada 2011.

Baty melahirkan kebimbangan dengan kekurangan penglibatan universiti Malaysia dalam penarafan dunia seperti World University Rankings THE, yang menjadi penanda aras "serius dan ketat" di seluruh dunia.

"World University Rankings THE dan Asia University Rankings dihormati kerajaan dan pemimpin universiti di seluruh dunia sebagai penanda aras serius yang ketat – ia adalah satu-satunya badan global yang mengukur universiti berhubung aktiviti teras: pengajaran; penyelidikan dan pemindahan pengetahuan.

"Kerjasama dengan pihak seperti ini membantu universiti mengenal pasti kelemahan dan kekuatan dan merancang masa depan yang lebih kukuh. Tetapi kami dapati beberapa universiti di Malaysia masih belum bersedia untuk berkongsi data, yang saya rasa peluang keemasan yang dilepaskan," katanya.

Berbeza dengan Malaysia, Baty berkata presiden India menyeru universiti negaranya terlibat dengan THE sebagai satu polisi.

"Di India, sekarang ada kefahaman yang jelas bahawa institusi perlu dilihat global dan menggunakan penanda aras prestasi global dipercayai untuk bertambah baik.

"Sejak ia terlibat dengan kami, ia berjaya menyenaraikan empat buah institusi tahun ini berbanding hanya satu pada 2011," katanya.

World University Rankings adalah berdasarkan penilaian daripada kekuatan institusi menggunakan 13 indikator mengukur pengajarannya, penyelidikan, pemindahan ilmu dan prospek antarabangsa, dengan kerjasama Thomson Reuters yang mengumpul, menganalisis dan mengesahkan data.

Baty mendedahkan, empat universiti Malaysia yang mengemukakan data menerima markah "agak rendah" bagi reputasi dan juga rujukan, yang menjadi petunjuk paling utama bagi pengiraan kedudukan.

"Satu bahagian di mana universiti di Malaysia tidak menyerlah adalah mengenai petunjuk penyelidikan berkaitan.

"Dalam jangka pendek, menumpuan pada bahagian ini akan memberi kesan peningkatan prestasi universiti Malaysia," katanya.

Malaysia juga perlu memberi perhatian lebih terhadap reputasi akademik dan petunjuk kewangan, yang katanya, berlaku banyak peningkatan di kalangan universiti Asia Timur.

"Sukar bagi saya mencadangkan tempoh masa Malaysia menembusi kedudukan 200 teratas, terutamanya jika institusinya tidak berada dalam senarai 400 teratas. Justeru, jelas terdapat banyak yang perlu dilakukan."

Menjadikan India sebagai contoh, Baty berkata meningkatkan penglibatan dengan badan itu adalah titik permulaan baik untuk universiti di Malaysia bertambah baik.

"Pemimpin universiti Malaysia tidak mampu menyembunyikan diri apabila bercakap tentang penanda aras prestasi global," katanya. – 2 Oktober, 2014.