Indonesia minta bantuan AS cari pesawat AirAsia hilang

Indonesia meminta bantuan daripada Amerika Syarikat (AS) mencari pesawat AirAsia yang hilang dan dipercayai terhempas ke dalam laut, kata pegawai AS semalam.

Jabatan Negara juga mengesahkan tiada rakyat Amerika terlibat dalam kapal terbang QZ8501 itu, yang hilang pada Ahad di Laut Jawa dengan 162 orang penumpang dan anak kapal.

"Kedutaan kami di Jakarta berhubung rapat dengan pegawai Indonesia, dan hari ini, kami menerima permintaan untuk bantuan mencari pesawat tersebut," kata Jeffrey Rathke, jurucakap Jabatan Negara.

"Kami sedang mengkaji cari cara terbaik bagi memenuhi permintaan Indonesia mendapatkan bantuan itu," katanya dipetik laporan AFP.

Katanya, ia akan mengambil "sedikit masa" menilai permintaan itu, tanpa memperincikan jenis bantuan - tentera atau sebaliknya - yang akan diberikan AS.

Jurucakap Pentagon, Laksamana John Kirby berkata, bantuan itu juga boleh dalam bentuk "kemampuan mengesan di udara, permukaan dan sub-permukaan".

"Kami bersedia memberi bantuan dalam apa cara yang mungkin," katanya.

Berpuluh-puluh pesawat dan kapal sedang mencari pesawat jenis Airbus 320-200 yang hilang itu, yang terputus hubungan dalam perjalanan dari Surabaya di timur Jawa, Indonesia ke Singapura selepas kapal itu meminta ditukar rancangan penerbangannya akibat cuaca ribut.

Australia, Malaysia dan Singapura menyertai pencarian yang diketuai Indonesia itu sambil saudara mara mangsa sedih menanti berita daripada insan tersayang.

Ini merupaan krisis ketiga dalam industri penerbangan Malaysia tahun ini selepas yang melibatkan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada Mac dan MH17 pada Julai.

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Berhad memiliki 49% saham dalam Air Asia Indonesia. – 30 Disember, 2014.