Islam terbela bila ramai jutawan Melayu, kata Umno Selangor

Umno Kelantan bermesyuarat tentukan jika tanding PRK DUN Chempaka

Perwakilan Umno negeri Selangor Datuk Mohd Haniff Koslan menggesa kerajaan melahirkan lebih banyak jutawan Melayu supaya martabat agama Islam terbela.

Wakil dari Umno bahagian Pandan tersebut menegaskan, jutawan di kalangan kaum Melayu masih kecil jika dibandingkan dengan kaum lain, hanya lapan orang daripada 50 jutawan (16%) di dalam negara.

"Jutawan Melayu penting sebab orang Melayu beragama Islam.

"Bila orang Melayu kaya, Islam terbela," kata beliau semasa membahas ucapan dasar Presiden Umno semasa Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur petang ini.

Bagi mencapai matlamat untuk melahirkan lebih ramai jutawan Melayu, Mohd Haniff menggesa supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan utama untuk mencapai matlamat tersebut.

"Kalau tak susah. Ingin saya cadangkan supaya GLC ini wujudkan ramai jutawan Melayu," tegas beliau.

Mohd Haniff menegaskan kegagalan melahirkan lebih ramai jutawan tidak wajar dipersalahkan di bahu kerajaan sahaja ataupun malas tetapi kerana masyarakat Melayu lebih tertumpu di dalam sektor ekonomi.

"Kegagalan ini bukan kerana Melayu malas.

"Orang Melayu disusun hidup untuk jadi petani, jadi berniaga memang susah," tambahnya lagi.

Perwakilan Umno baru-baru ini juga menggesa kerajaan supaya mengaudit syarikat swasta bukan Melayu kerana peluang yang diberikan kepada Bumiputera dalam sektor tersebut masih rendah.

Walaupun pelbagai dasar dan polisi diperkenalkan untuk membantu Bumiputera, sasaran 30% ekuiti masih belum tercapai.

Kenyataan itu juga mengulangi gesaan sama yang dibuat oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebelum ini yang menyalahkan sektor swasta menindas Bumiputera sebagai punca kumpulan tersebut masih jauh ketinggalan di belakang.

Bagaimanapun, pengkritik menolak hujah tersebut sebaliknya menegaskan sektor swasta mementingkan meritokrasi dan lebih menitikberatkan kualiti dalam pengambilan pekerja.

Abdul Wahid juga berkata, sektor swasta berlaku tidak adil kepada Bumiputera.

"Apa yang saya cuba katakan ialah banyak peluang yang wujud dalam sektor swasta tetapi malangnya banyak ahli perniagaan Bumiputera dan profesional merasakan mereka tidak diberi peluang yang adil dalam sektor swasta.

"Sebagai contoh, hanya sebilangan kecil Bumiputera di peringkat atasan," kata Abdul Wahid yang dipetik dalam The Edge pada Oktober lalu.

Selain itu, Perdana Menteri juga melancarkan program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang menggariskan lima teras iaitu meningkatkan daya modal insan, memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera.

Bagaimanapun, pakar ekonomi terkenal Prof Emeritus Datuk Dr Mohamed Ariff menegaskan bantuan kewangan berasaskan kaum dan rancangan memperkasa Bumiputera akan tersasar matlamatnya seperti polisi terdahulu. – 6 Disember, 2013.