Isu kalimah Allah: Umat Islam akan keliru jika “Allah” dalam bible, kata Jakim

Rakyat Malaysia perlu ‘muka tebal’ bincang isu agama

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaat hari ini menggesa umat Islam bersatu-padu mempertahankan penggunaan kalimah Allah daripada disalahgunakan sempena keputusan kes tersebut yang akan didengar di Mahkamah Rayuan Isnin ini.

Jakim berkata, sebagai umat Islam yang patuh kepada ajaran agama adalah perlu untuk bersatu-padu demi menolak apa jua usaha yang menafikan hak sebagai umat Islam.

“Wajib bagi umat Islam menjaga dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Mimbar ingin menyatakan bahawa percubaan menggunakan kalimah Allah di dalam kitab lain selain al-Quran, akan menimbulkan kecelaruan di dalam sistem kepercayaan umat Islam. Islam menolak kepercayaan yang berteraskan kepada Trinity iaitu God Father (Bapa Tuhan), God the Son (Anak Tuhan) dan Holy Spirit (Roh Kudus),” katanya melalui khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk “Ihram: Simbol Kepatuhan Ummah”.

Dalam khutbah itu juga, Jakim mempersoalkan mengapa kalimah Allah hendak digunakan dalam Bible, kerana apabila kalimah Allah digunakan secara langsung di dalam kitab itu akan membatalkan konsep Triniti yang diamalkan mereka.

Katanya, penggunaan tersebut jelas menjadikan umat Islam keliru, ragu-ragu dan tersilap mengenal identiti Allah serta meruntuhkan akidah umat Islam.

“Maka menjadi tanggungjawab mimbar yang mulia ini menyeru sidang jumaat dan umat Islam sekalian untuk bersama-sama mempertahankan dan memantap akidah kita, keluarga dan masyarakat demi masa depan agama, ummah dan negara dengan menolak segala usaha untuk meruntuhkan akidah di samping menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah dan rasul-Nya.

“Di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa untuk mempertahankan kesucian agama Islam. Marilah sama-sama kita dengan segala upaya mempertahankan kemuliaan agama Islam dari sebarang penghinaan dan diceroboh oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kita juga hendaklah berdoa agar segala usaha untuk meruntuhkan akidah umat Islam digagalkan oleh Allah. Percayalah mempertahankan kesucian Islam dengan tidak membenarkan penghinaan oleh pihak lain adalah sesuatu yang dituntut,” katanya.

Jakim turut menyeru umat Islam supaya mengelak kebebasan tanpa sempadan dan hak asasi manusia berpaksikan barat kerana ideologi tersebut adalah perancangan musuh Islam di negara ini yang sedang direncanakan untuk menyuburkan fahaman bercanggah dengan agama seperti liberal, pluralisme agama dan menghalalkan LGBT yang akhirnya lahirlah generasi di kalangan umat Islam yang mendokong perjuangan mereka dan sanggup menggadaikan agama Islam dan negara.

Katanya, perkembangan ini sangat bahaya kerana cukup jelas mempengaruhi umat Islam atas dasar hak asasi manusia.

“Perbuatan menyokong ideologi asing seperti kapitalisme, komunisme, sosialisme, liberalisme dan menganggap ideologi tersebut lebih baik daripada ajaran Islam boleh membawa kepada syirik.

“Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa jua bentuk samada perkataan, pegangan, perbuatan atau iktiqad iaitu dengan menjadikan sesuatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sebagai sekutu kepada Allah,” katanya.

Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan berhubung penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Katolik, Herald pada 14 Oktober ini.

Peguam Persekutuan, Andi Razalijaya A Dadi, berkata Jabatan Peguam Negara menerima notis berkenaan daripada Pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini.

Pada 10 September, tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Mohamad Apandi Ali menerima perbicaraan peguam mewakili Putrajaya, Gereja Roman Katolik dan pihak berkuasa agama berhubung perkara itu.

Turut bersama Apandi adalah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Zawawi Salleh.

Pada Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan akhbar berkenaan boleh menggunakan perkataan itu.

Putrajaya bagaimanapun merayu keputusan tersebut.

Sementara itu, The Malaysian Insider melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Putrajaya tetap dengan pendirian kalimah Allah adalah hak mutlak penganut Islam dan tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain ketika ditanya tentang keputusan rayuan oleh Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur yang diumumkan pada 22 Ogos lalu.

Beliau berkata, masyarakat bukan Islam mesti menghormati hak penganut Islam tentang perkara itu dan tidak ada kompromi dalam isu tersebut.

"Ini bukan soal hak, tapi lebih daripada hak mutlak, kalimah Allah adalah hak mutlak orang Islam.

"Kita hormati agama lain, tapi dalam soal ini kita juga mahu agama lain hormati agama Islam," katanya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mencampuri urusan mahkamah tetapi ia adalah mengenai hak orang Islam di Malaysia.

Akhbar mingguan yang diterbitkan dalam empat bahasa itu menggunakan kalimah “Allah” sebagai merujuk kepada “God” dalam The Herald terbitan bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, kerajaan berhujah kalimah “Allah” hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja. - 11 Oktober, 2013.