Advertisement

Jalan nama Karpal Singh boleh, kenapa nama Agong tak boleh, soal Khairy

Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas mereka yang mempertikaikan langkah menukar nama beberapa batang jalan di sekitar Kuala Lumpur kepada nama Yang di-Pertuan Agong terdahulu, mengatakan nama yang tiada makna perlu ditukar.

Ketua Pemuda Umno itu mempersoalkan mengapa isu tersebut perlu dipersoalkan sedangkan kerajaan DAP Pulau Pinang juga meletak nama jalan sempena nama pemimpin mereka.

"Bila ada yang bangkitkan soal nama-nama jalan, saya kata kenapa nak kecoh? Di Pulau Pinang, ada jalan yang dinamakan Jalan Karpal Singh. Tiada sesiapa pun yang bising," kata Khairy dalam ucapan penggulungan sayap parti Umno itu hari ini.

Mempertahankan langkah menukar jalan tersebut, Khairy berkata raja serta sultan adalah simbol negara dan juga lambang kedaulatan negara.

"Kita nak tukar nama-nama jalan yang tiada makna, Jalan Duta, Mahameru kepada nama raja Melayu, yang juga ketua negara kepada seluruh rakyat Malaysia," kata beliau semasa Perhimpunan Agung Pemuda Umno.

Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan 8 jalan utama di Kuala Lumpur akan diberi nama baharu sempena Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Menurut satu pekeliling yang ditandatangani Pengurus Perancangan Korporat DBKL Dr Ismail Stapa, papan tanda dengan nama baharu jalan berkenaan akan dibetulkan pada hari ini.

Khairy juga membidas semula kecaman Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menuduhnya bersikap perkauman apabila beliau dalam ucapan dasarnya mengingatkan orang bukan Melayu supaya tidak mempertikaikan hak dan kedudukan orang Melayu.

"(Katanya) Tiada siapa pun pertikai kedudukan Melayu, Raja-raja Melayu, mahupun bahasa kebangsaan. Ini semua usaha Umno momokkan orang Melayu supaya terus sokong Umno.

"Dia cakap tiada siapa pertikaikan. Saya nak tanya saudara, betulkah tiada siapa pertikai orang Melayu dan hak orang Melayu?" soal Khairy kepada perwakilan. – 26 November, 2014.