Jangan malukan ‘munafik’, sabar betulkan mereka, kata Nik Aziz kepada Khalid

Jangan malukan ‘munafik’, sabar betulkan mereka, kata Nik Aziz kepada Khalid

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan beliau bahawa jangan memalukan golongan "munafik" sebaliknya bersabar membetulkan mereka.

Menteri besar Selangor itu berkata Nik Aziz memberi nasihat itu semasa kunjungannya ke kediaman bekas menteri besar Kelantan itu semasa sambutan Hari Raya minggu lalu.

"Saya jumpa Nik Aziz dan beliau berikan nasihat yang terlalu susah untuk saya lakukan.

"Beliau ingatkan dalam politik banyak yang munafik. Saya ingatkan beliau suruh hapuskan munafik tetapi jangan malukan mereka, sebaliknya sabar membetulkan mereka," katanya ketika berucap di hadapan 300 hadirin di kediamannya di Shah Alam.

Nik Aziz baru-baru ini tetap bertegas mahu Khalid kekal sebagai menteri besar Selangor kerana tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu.

Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat semalam juga memutuskan Khalid dikekalkan sebagai menteri besar Selangor kerana beranggapan pelantikannya adalah hak bersama parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani Nik Aziz dan timbalannya Datuk Dr Haron Din, mereka berkata: "Selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan menteri besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan mengekalkan Khalid sebagai MB Selangor.

"Jika ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak berautoriti seperti SPRM atau mahkamah maka Majlis Syura Ulama bersedia menilai kembali kedudukan beliau,” kata kenyataan itu.

Khalid berkata Nik Aziz juga mengingatkan syiar Islam dapat ditingkatkan pada zaman Rasulullah melalui tidak menjatuhkan maruah orang lain.

"Beliau ingatkan Rasulullah meningkatkan syiar Islam dengan cara pemimpin Islam itu tidak menjatuhkan maruah orang lain walau mereka jahat tetapi dengan cara membetulkan mereka.

"Saya tak tahu saya boleh jalankan tugas ini tetapi saya cuba lakukan dengan baik dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata walaupun Selangor sedang mengalami pergolakan politik namun DAP masih memberikan kepercayaan kepadanya untuk menjalankan tugas.

"Walaupun DAP kata kita tidak betul tetapi tidak seorang daripada mereka kata kerajaan yang dipimpin Islam tidak amanah, menipu rakyat sebaliknya menjalankan tugas dengan baik.

"Walaupun tak suka dengan kita tetapi orang dia lebih suka orang kita daripada orang dia," katanya yang disahut takbir hadirin yang hadir. – 7 Ogos, 2014.