Advertisement

Jangan terlalu bergantung kepada SKMM perangi laman web negatif

SKMM siasat kes video sindir hudud sebaik terima aduan

Masyarakat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam memantau serta menyekat laman web berunsur negatif melalui Internet.

Pengerusinya Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata ini kerana agensi berkenaan mempunyai kekangan menyekat kesemua laman web tersebut yang disifatkan 'bagai cendawan tumbuh selepas hujan'.

"Sesetengah laman web itu kita tidak tahu kewujudannya kerana untuk memantau perkara ini, kita belum ada sebuah pasukan khusus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) bertajuk 'Meneroka Landskap Digital Di Malaysia' di Subang Jaya, hari ini.

Di peringkat awal, Shahril berkata penting bagi masyarakat terutama ibu bapa mendidik anak-anak mereka mengenai kebaikan dan keburukan melayari Internet.

"Mereka (ibu bapa) sepatutnya tahu tentang kemahiran dan pengetahuan itu (mendidik) kerana meminimumkan bahaya dan pengalaman buruk dalam kalangan anak-anak muda adalah sesuatu yang kita tidak boleh jamin sepanjang masa.

"Tambahan pula, SKMM hanya mampu menguruskan teknologi, infrastruktur dan jaringan komunikasi tetapi tidak berupaya memberitahu perkara yang harus dan tidak boleh dibuat pengguna Internet semasa dalam alam maya," katanya.

Shahril berkata melalui kaji selidik yang dijalankan pihaknya pada 2012, mendapati 37% daripada 18.6 juta pengguna Internet adalah remaja berusia lingkungan 24 tahun ke bawah, manakala selebihnya 24 hingga 35 tahun.

Mengenai laporan itu, Wakil Unicef ke Malaysia, Wivina Belmonte berkata ia menyediakan maklumat yang banyak kepada semua pihak berkepentingan yang berhasrat mewujudkan persekitaran Internet selamat kepada kanak-kanak, remaja dan belia.

"Dalam kita perlu menggalakkan pendekatan seimbang kepada dasar-dasar atas talian supaya dapat melindungi anak-anak muda dan membolehkan mereka memberi pendapat sendiri dalam melayari dunia digital, (laporan) ini akan menjadi rujukan terbaik kepada semua.

"Ia mengambil masa agak lama bagi kami menyiapkannya di mana sebahagian besar data diperoleh dari laman web universiti atau agensi-agensi berkaitan," kata Belmonte. – Bernama, 3 November, 2014.