JEN DATUK RAJA MOHAMED AFFANDI TERIMA TUGAS PANGLIMA TENTERA DARAT KE-25

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja

Mohamed Noor hari ini secara rasminya mengambil alih tugas sebagai Panglima

Tentera Darat ke-25 daripada Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Majlis pemakaian pangkat dan serah tugas itu berlangsung di Auditorium

Kementah, Kementerian Pertahanan di sini yang disaksikan Menteri Pertahanan

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri

Zulkifeli Mohd Zin.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohammed Nordin

Ali dan Panglima Angkatan Bersama (PAB) Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad

Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sebelum itu, Raja Mohamed Affandi menerima pemakaian pangkat Jeneral penuh

daripada Hishammuddin dan Zulkifeli.

Zulkifli, 52, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan

Nasional Malaysia (UPNM) berkuat kuasa 15 Jun. Raja Mohamed Affandi, 56, sebelum

ini ialah Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketika berucap, Raja Mohamed Affandi berikrar akan melaksanakan tugas,

memimpin ATM bagi membentuk tentera darat sebagai sebuah organisasi dan pasukan

yang mampu menyempurnakan tanggungjawab sebagai benteng pertahanan negara.

"Saya melafazkan ikrar untuk mengabdikan diri kepada tentera darat,

perkhidmatan dan negara agar limpahannya akan mewujudkan suasana yang aman dalam

negara yang akan membolehkan negara dan rakyat mendapat manfaatnya serta

meletakkan kepentingan ini melebihi kepentingan yang lain," katanya.

-- BERNAMA

ASHAB PSBM KHY KLS RON

Loading...