Jika faham Al-Quran mesti tolak undi Umno, kata PAS Kelantan

Jika faham Al-Quran mesti tolak undi Umno, kata PAS Kelantan

Masyarakat yang celik Al-Quran perlu mengelak daripada mengundi Umno kerana ia turut sama mengundang dosa, kata Datuk Mohd Nasaruddin Daud.

Ketua penerangan PAS Kelantan itu berkata, Umno terlibat dalam pengeluaran lesen judi maka mereka yang mengundi Umno akan turut sama terpalit dengan dosa.

“Mengajar Al-Quran biar faham kandungan Al-Quran. Kalau tak faham, maka lahir orang dalam masyarakat kita, mengajar Al-Quran tetapi undi Umno, undi dacing.

"Orang Umno bila dapat kuasa, dia keluarkan lesen judi. Orang berjudi, dia kata dia tak berdosa walaupun dia undi Umno. Jawabnya, bahagian dia pun ada juga," katanya dalam ceramah kelompok di Kampung Geting, Pengkalan Kubor malam tadi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) perlu menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada Khamis ini sebagai hadiah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang ketika ini berada di New York, Amerika Syarikat.

Katanya, kemenangan BN sangat penting kerana ia turut menjadi perhatian wakil dunia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Ini sebagai semangat kepada perdana menteri yang ketika ini berada di New York.

"Kemenangan BN itu adalah mencerminkan maruah negara yang menunjukkan sebahagian besar rakyat masih memerlukan BN," katanya.

Nasaruddin berkata memberi undi kepada pemerintah yang bercanggah dengan syariat Islam membuktikan pengundi juga menyokong gerak kerja mereka.

“Jika kita redha dengan kerajaan yang tidak melaksanakan Islam, kita sokong dia, dan dia buat benda yang bercanggah dengan Islam. Ertinya, kita redha juga dengan benda yang bercanggah dengan Islam.

"Kita undi dia, dia dapat kuasa, dia keluar lesen judi. Orang berjudi, walau kita tak berjudi, ada bahagiannya, tuan-tuan," katanya berucap di hadapan 100 penduduk kampung dalam suasana hujan renyai.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan itu juga mengingatkan pengundi di Pengkalan Kubor agar menyokong gerakan Islam kerana ia merupakan satu tuntutan agama.

Katanya, umat Islam juga perlu bijak membezakan di antara perbuatan wajib dan sunat dalam mengamalkan suruhan Allah.

"Sebab apa kita ajak masuk perjuangan Islam? Sebab perjuangkan Islam ini wajib. Nabi sebut dalam hadis riwayat Bukhari, 'hendaklah kamu menyertai jemaah Islam dan bersama-sama dengan pemimpin mereka'.

"Dalam kitab Fathul Bari (menjelaskan hadis ini), berdasarkan hadis ini ulama menyatakan menyertai jemaah Islam hukumnya wajib.

"Memakai serban hukumnya sunat sahaja. Perjuang Islam itu wajib. Kita pakai serban, tentang perjuangan Islam tak kena. Jangan buat benda sunat, benda wajib kita tinggal," katanya. – 22 September, 2014.