Jika Iskandar jadi MB, mahukah PKR dan DAP akur? – Shahbudin Husin

Tersebar secara meluas di beberapa portal berita, blog dan media sosial sejak petang semalam mengenai desas-desus Adun Cempaka Iskandar Abdul Samad akan dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Melalui berita yang turut menjadi bualan ramai di pejabat SUK Selangor itu, Iskandar yang juga exco Kerajaan Negeri dan pesuruhjaya PAS Selangor dikatakan akan diumumkan bagi jawatan itu oleh pihak istana Rabu ini, manakala majlis mengangkat sumpat pula akan diadakan pada Jumaat.

Berita perlantikan Iskandar ini menyusul selepas istana mengeluarkan kenyataan dukacita Sultan Selangor terhadap PKR dan DAP yang tidak mematuhi titah baginda yang mahukan kedua-dua parti itu menghantar lebih daripada dua nama, sebaliknya tetap berkeras dengan hanya mencalonkan satu nama saja iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Seterusnya tindakan PKR dan DAP itu juga dianggap sebagai perbuatan derhaka kepada baginda.

Kenyataan dukacita dan derhaka yang dikeluarkan istana ini lantas menimbulkan tafsiran baginda tidak berkenan dengan mana-mana calon yang dikemukakan kedua-dua parti itu. Didorong rasa dukacita itu juga, Sultan Selangor turut dikatakan akan mengenepikan calon PKR untuk menjadi menteri besar, meskipun menyedari ada kesepakatan dalam PR kerusi itu milik PKR.

Dalam masa yang sama, difahamkan juga ketiga-tiga Adun PAS yang dicalonkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menggantikan Khalid turut dipanggil mengadap Sultan mulai semalam dengan didahului Iskandar serta diikuti Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi pada hari ini dan esok. Ia dikatakan sebagai proses temubual dengan istana.

Meskipun Iskandar menafikan beliau dipanggil istana tetapi adalah perkara biasa penafian seperti ini dibuat, bahkan dalam banyak kejadian dalam dunia politik negara ini, sebahagian besarnya memang bermula dengan nafi-menafi.

Ketika ditanya mengenainya, Iskandar hanya berkata, "besok tak ada (mengadap), lusa pun tak ada dan minggu depan pun tak ada". Jawapan umum seperti ini seolah-olah mempunyai banyak maksud dan rahsianya.

Melihat kemelut politik yang sedang berlaku di Selangor ketika ini, memang tidak mustahil jika Sultan Selangor melantik Iskandar sebagai MB serta mengenepikan calon lain, termasuk Dr Wan Azizah yang sudah menyertakan bukti sokongan majoriti melalui 30 Adun yang membuat akaun bersumpah terhadapnya.

Tetapi pelantikan Iskandar itu sudah tentu ada pro dan kontra serta risikonya yang tersendiri kerana beliau bukanlah pilihan utama serta sokongan yang ada padanya juga tidak pasti. Yang jelasnya, PAS hanyalah tinggal 13 Adun saja ketika ini.

Langkah pertama yang harus diambilnya jika dilantik ialah memastikan sokongan majoriti memihak kepadanya. Ia boleh dilakukan dengan segera memujuk PKR dan DAP agar akur dengan pelantikan itu sebagai yang tanda taat setia kepada Sultan Selangor yang membuat pelantikan itu.

Soalnya bolehkah PAS meyakinkan 15 Adun DAP dan 13 Adun PKR serta dua Adunnya sendiri iaitu Shaari Sungib dan Hasnul Badaruddin untuk membuat U turn memandangkan 30 Adun berkenaan sebelum ini amat keras mahukan hanya Dr Wan Azizah sebagai MB serta sudah pun membuat akuan bersumpah mengenainya?

Jika Iskandar gagal memecahkan blok 30 Adun ini, risiko yang bakal beliau hadapi ialah kemungkinan berlakunya undi tidak percaya dalam sidang DUN pada November nanti.

Kiranya ini berlaku, pertukaran menteri besar mesti dibuat sekali lagi.

Dengan PAS hanya mempunyai 13 Adun sekarang ini serta Khalid yang pasti menyokongnya, Iskandar tidak mampu sendirian menubuhkan kerajaan di Selangor. Ia memerlukan sokongan parti lain. Jika gagal memujuk PKR dan DAP untuk menyokongnya, Iskandar juga boleh mencuba cara lain iaitu mengenyit mata untuk mendapatkan sokongan daripada 12 Adun Umno. Tetapi itu juga bergantung sama ada Umno mahu bersama dengan PAS atau tidak.

Namun, jika terjadi pun kerjasama itu, ia juga masih belum memadai kerana hanya menjadikan jumlahnya 26 daripada keseluruhan 56 Adun di Selangor. PAS seterusnya mungkin boleh memujuk kembali dua Adunnya yang sebelum ini menyokong Dr Wan Azizah untuk berpatah balik.

Bagaimanpun, jika usaha itu berjaya ia hanya menjadikan jumlahnya 28-28. Untuk mendapatkan majoriti, PAS masih perlu menarik sekurang-kurangnya seorang lagi Adun daripada PKR dan DAP untuk menyokongnya. Kalau dapat menarik dua atau tiga Adun, lagilah baik.

Tetapi, apabila PAS sudah membentuk bekerjasama dengan Umno di Selangor, sudah pastilah PAS terpaksa keluar daripada PR atau ia akan ditendang daripada gabungan itu. Tentulah mustahil untuk kekal dalam PR di peringkat pusat tetapi bekerjasama dengan Umno di Selangor.

Sebelum memutuskan bekerjasama dengan Umno, ia juga mungkin menyebabkan berlakunya perang besar dalam PAS serta tidak mustahil akan terbelah dua kerana golongan yang mahukan bercantum dengan Umno hanyalah puak pro ulama manakala kumpulan profesional lebih mahukan PAS kekal bersama PR dan menjadi alternatif kepada BN dalam politik negara ini.

Risiko PAS bergabung dengan Umno tentunya mengundang pelbagai risiko lain juga, terutama berkaitan masa depannya sendiri serta perjuangan Islam yang dibawanya selama ini. Setelah bertahun-tahun mengutuk dan berbakul makian dilemparkan kepada Umn selama ini, termasuk tuduhan kafir, taghut dan assabiyah, tindakan PAS bercantum dengan Umno tentunya akan menghakis kepercayaan sebahagian besar penyokongnya terutama di kampung kepadanya.

Walaupun PAS sudah banyak kali bertegas mengatakan kerusi MB Selangor adalah milik PKR dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pula mengatakan PAS akan menolaknya jika dilantik, tetapi kemungkinan untuk PAS mengarahkan Iskandar menerimanya juga tidak mustahil berdasarkan beberapa pertimbangan, termasuk tidak mahu dilihat sebagai derhaka dengan Sultan.

Meski bukan amalan sebelum ini untuk melantik pihak yang bukan mempunyai sokongan majoriti sebagai menteri besar di mana-mana negeri, tetapi memandangkan kuasa akhir di tangan Sultan, sejarah baru mungkin tercipta kali ini. Apatah lagi Sultan sudah menganggap PKR dan DAP sebagai derhaka kepada baginda.

Kecuali jika PKR dan DAP sedia membuat U turn dan menyatakan sokongan kepada Iskandar, pelantikan beliau lebih mungkin menjerumuskan PR ke kancah perpecahan yang memang diidam-idamkan Umno dan Barisan Nasional BN selama ini. – shahbudindotcom.blogspot.com, 9 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.