Jokowi hantar wakil siasat dakwaan penyelewengan pilihan raya presiden di Malaysia

Najib hadir upacara angkat sumpah Jokowi sebagai presiden

Pasangan calon presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla menghantar tiga wakilnya ke Malaysia untuk menyiasat dakwaan penyelewengan kertas undi pemilihan presiden di Kuala Lumpur.

Tiga wakil terbabit terdiri daripada dua peguam sukarela kem Jokowi–Jusuf Kalla dan seorang lagi wakil Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDIP), Eva Kusuma Sundari.

"Ini gerakan spontan untuk menyiasat sama ada berlakunya penyelewengan di sana," kata Ketua Pasukan Pemenang Tjahjo Kumolo seperti dilaporkan akhbar Kompas, hari ini.

Mereka dijadualkan bertemu pegawai yang bertanggungjawab, bermula daripada duta besar sehingga kepada pegawai pilihan raya.

"Mereka sudah berlepas ke Malaysia. Mungkin dua atau tiga hari berada di sana. Mereka akan periksa sama ada data pemilihan benar atau tidak," katanya.

Anggota kem Jokowi Trimedya Panjaitan berkata pihaknya mendapat laporan mengenai aduan memanipulasi undi dengan mengubah angka dalam formula C1, daripada peringkat bawah sehingga peringkat atas.

Enggan mendedahkan angka sebenar, Trimedya bagaimanapun mengatakan jumlahnya sangat tinggi.

Selain itu, pihaknya juga menerima laporan isu politik wang untuk memaksa pengundi memilih pasangan calon presiden dan calon wakil presiden tertentu.

"Kami tak rela undi kami dimanipulasikan. Kami akan terus berjuang," kata Trimedya.

Hasil laporan itu nanti akan disahkan pihaknya untuk dijadikan bukti jika keputusan undi akhir tidak sama dengan jumlah kiraan daripada pihaknya.

Kem tersebut sudah menyediakan 64 peguam untuk mengawal kiraan undi jika kes dibawa ke Mahkamah Konstitusi.

Keputusan awal tidak rasmi Pemilihan Presiden (Pilpres) dalam Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu) mengumumkan Jokowi mendahului pencabarnya, Prabowo Subiant–Hatta Rajasa dengan lebih 80% undi.

Jokowi yang merupakan Gabenor Jakarta itu sebelum ini mendahului dengan kira-kira 52%, manakala Prabowo memperoleh 48%. – 14 Julai, 2014.