Jualan Kamera Kompak Menjunam, Tetapi DSLR Tetapi Menjadi Pilihan Ramai

Temubual bersama Simon Wong, Pengarah Bahagian Produk Komunikasi Imej, Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd.

Produk-produk daripada Canon sememangnya terkenal dengan kualitinya, dan juga kualiti imej yang dirakam dengannya. Tidak boleh disangkal bahawa Canon adalah peneraju produk fotografi di Malaysia. Untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai rancangan Canon di Malaysia, Majalah Tech telah berjumpa dengan Simon Wong, Pengarah Bahagian Produk Komunikasi Imej, Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd untuk meminta pandangan beliau mengenai pasaran kamera di Malaysia pada masa kini.

MT: Semakin ramai yang menggunakan telefon pintar mereka berbanding dengan kamera kompak biasa. Adaka ini kerana mereka fikirkan telefon mereka mempunyai kamera, jadi tidak perlu membeli kamera yang mahal untuk mengambil gambar?

SW: Untuk Canon, kami sentiasa mementingkan kualiti gambar daripada harga di pasaran. Walaupun semakin banyak pengguna menggunakan telefon pintar dan tablet mereka untuk mengambil gambar, kami masih percaya terdapat pengguna yang masih mementingkan kualiti daripada kuantiti untuk fotografi. Oleh itu kami terus untuk menghasilkan produk-produk yang dibuat khusus untuk mereka yang inginkan imej berkualiti tinggi. Kami tidak akan mengambil langkah mudah dengan mengurangkan kualiti produk kami hanya untuk menjadikannya murah untuk dibeli.

MT: Adakah bisnes kamera kompak anda terjejas dengan penggunaan telefon bimbit oleh pengguna di luar sana?

Memang ada terjejas. Kami telah melihat pengurangan sebanyak 20% di dalam bisnes kamera kompak kami. Walau bagaimanapun kami juga melihat peningkatan di dalam penjualan kamera yang berharga kurang dari RM500. Segmen ini menyumbangkan lebih daripada 70% jumlah jualan kamera kami!

MT: Adakah ini trend terbaru? Pengguna membeli kamera berharga kurang daripada RM500?

Kami melihat tiga trend besar berlaku di Malaysia – pengguna membeli kamera mengikut harga, pengguna membeli kamera yang berbentuk professional, dan mereka yang membeli kamera dengan kuasa zum yang tinggi.

MT: Boleh anda kongsi ramalan anda untuk pertumbuhan segmen DSLR di Malaysia?

Untuk tahun ini, kami menjangkakan pertumbuhan yang akan berlaku sebanyak 5%, berbanding tahun sebelumnya di mana pertumbuhan adalah sebanyak dua digit. Ini kerana pengguna yang inginkan DSLR, sudah memiliki DSLR dan tidak menyumbang kepada pertumbuhan segmen ini. Jumlah segmen ini di Malaysia hanya sebanyak 14,000 unit sebulan, dan Canon sentiasa mensasarkan untuk mendapatkan 50% daripada jumlah tersebut.

Berbanding dengan pesaing terbesar kami, Canon mempunyai kelebihan dari segi jenis badan kamera, serta jumlah lensa yang besar di dalam katalog kami. Oleh itu kami yakin untuk mencapai sasaran pertumbuhan kami.

MT: Adakah jumlah pertumbuhan ini akan berterusan di dalam masa yang terdekat ini?

Ya, kami berasa ianya akan berterusan. Di samping itu, kami juga melihat potensi yang besar di dalam segmen kamera tanpa cermin – dengan anggaran pertumbuhan sebanyak 25%. Oleh itu kami memperkenalkan DSLR Kompak Premium kami, EOS-M di dalam segmen ini.

MT: Kenapa Canon menggunakan definasi “DSLR Kompak Premium”, bukannya Kamera Tanpa Cermin?

Kami melihat bahawa dari segi fungsi dan saiz, EOS-M lebih sesuai untuk dikategorikan sebagai sebuah kamera kompak, dan dengan ciri-ciri yang dikongsi dengan DSLR, DSLR Kompak amat sesuai sekali.

MT: Boleh anda kongsi bersama kami demografik pembeli produk Canon?

Buat masa kini, kami tidak mempunyai data khusus untuk soalan ini, akan tetapi kami percaya umur, jantina ataupun bangsa bukan penghalang untuk sesiapa pun untuk memasuki bidang fotografi . Kami mempunyai pendapat bahawa setiap individu atau keluarga perlu mempunyai sebuah kamera.

MT: Terdapat persepsi bahawa Canon bukan jenama yang terkenal di antara pengguna Melayu di Malaysia, terutamanya untuk segmen DSLR. Pandangan anda?

Kami mengaku bahawa Canon tidak sepopular seperti pesaing kami di kalangan pengguna Melayu. Oleh itu kami kini mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna Melayu akan jenama kami. Selain daripada kerjasama kami bersama artis seperti Yuna, kami juga kini giat untuk menggunakan media massa bahasa Melayu untuk mengembangkan sayap kami di dalam pasaran luas ini.

MT: Adakah anda bercadang untuk mengembangkan bahagian pendidikan untuk pengguna DSLR di Malaysia?

Ya, semestinya. Kami telah bekerjasama dengan UITM dan UIA untuk menjalankan kelas-kelas fotografi untuk orang awam – sebahagian daripada inisiatif kami untuk meningkatkan pengetahuan pengguna dalam penggunaan DSLR mereka. Disamping itu, kami juga telah memulakan kedai EOS kami tersendiri – satu di Subang dan satu ti Pulau Pinang. Inisiatif ini telah dibangunkan di bawah projek Photopreneur kami, dimana kami menolong jurugambar professional menjadi usahawan.

Butik-butik ini dibuka sejak setahun yang lepas, dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelanggan-pelanggan Canon. Ianya salah satu cara untuk pelanggan kami mendapatkan informasi tepat mengenai produk milik mereka.

Kami bercadang untuk menubuhkan lebih banyak lagi butik seperti ini di bawah program Photopreneur agar pengguna, terutamanya pengguna baru, boleh mendapat informasi berguna untuk kamera baru mereka.