Adik terus membakar lilin keadilan bagi Teoh Beng Hock

Lima tahun sejak kematian adiknya, Teoh Lee Lan kerap memakai pakaian warna hitam sahaja di khalayak ramai. Ia bertujuan sentiasa mengingati kematian adiknya, Teoh Beng Hock ke mana sahaja dia pergi.

Memakai T-shirt hitam yang bercetak wajah tersenyum Beng Hock, kakak kepada pembantu politik yang berusia 34 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam pada Selasa bagi meminta satu siasatan semula dibuat ke atas kematian adiknya.

Ia dibuat selepas Mahkamah Rayuan pada 5 September mengetepikan keputusan terbuka oleh koroner atas kematian Beng Hock dan menolak kemungkinan bunuh diri dengan memutuskan "ada seseorang atau orang yang bertanggungjawab atas kematiannya".

Laporan ini dibuat Lee Lan di balai polis yang terletak berhampiran pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam, di mana adik beliau yang 30 tahun itu ditemui mati lima tahun lalu.

Setiausaha politik DAP itu pergi ke pejabat SPRM itu pada 15 Julai 2009 untuk memberikan kenyataan dalam siasatan agensi itu atas tuduhan rasuah terhadap bosnya, Exco Selangor Ean Yong Hian Wah.

Beliau ditemui mati keesokan harinya, terbaring di atas lantai tingkat lima bangunan itu. Dia dipercayai mati akibat jatuh dari tingkat 14 bangunan itu.

"Saya letih," katanya selepas melalui satu perjalanan yang tidak terkira banyaknya ke mahkamah untuk menghadiri perbicaraan kematian adiknya, dan kemudian Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI), dan kemudiannya proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Namun dia terus komited memasang lilin untuk abangnya sehingga hasil yang dikehendaki tercapai – mencari pembunuh Beng Hock, dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Lee Lan berada di barisan hadapan perjuangan keluarganya dalam mencari keadilan untuk Beng Hock.

Dia menghadiri forum, memberikan ceramah dan menubuhkan satu memorial awam. Ini membawa beliau ke seluruh negara kecuali Sabah.

Dia juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan bagi berkempen menentang kematian dalam tahanan, termasuk yang ditubuhkan untuk mengingati adiknya yang dikenali sebagai Amanah Demokrasi Teoh Beng Hock.

Selama ini, Lee Lan menjadi jurucakap utama bagi keluarganya.

Lee Lan bertemu dengan The Malaysian Insider selepas keputusan Mahkamah Rayuan untuk bercakap mengenai perjuangan berterusan oleh keluarganya untuk keadilan.

Beliau berkata rakan-rakan memberitahunya dia sudah berubah. Mereka berkata sebelum kejadian itu, dia hanya seorang gadis biasa yang selalu keluar dengan rakan-rakannya dan tidak tahu banyak tentang politik.

Dan kesedihan berlebihan tidak pernah dirasainya sebelum kehilangan adiknya.

Beng Hock ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam. – Gambar fail,13 September, 2014.
Beng Hock ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam. – Gambar fail,13 September, 2014.

"Semuanya berubah, dan setiap kali saya pergi ke mahkamah atau setiap kali saya melihat (Soh) Cher Wei, air mata akan mengalir, " katanya, merujuk kepada tunang Beng Hock.

Cher Wei sudah tiga bulan mengandung anak lelaki mereka, Er Jia, apabila Beng Hock dijumpai mati, dan mereka berkahwin selepas kematiannya mengikut upacara Cina.

"Rakan-rakan saya mengatakan saya menjadi berani, tetapi itu tidak benar, ini adalah sesuatu yang saya buat kerana saya sayangkan adik saya. Ramai orang akan melakukan perkara yang sama jika mereka berada dalam keadaan yang sama, " kata Lee Lan.

Lee Lan berkahwin dengan teman lelakinya sejak kolej tahun lepas dengan mengambil kira sokongannya menjaga obor yang membakar untuk adiknya.

Bagi suaminya, seorang penganalisis yang beliau kenali sejak tahun 2001, dia berkata: "Dia adalah pendengar yang sangat baik dan menyokong saya dalam semua yang saya lakukan.

"Dia bersama saya dan melihat bagaimana kejadian itu memberi kesan kepada saya, dia juga mengenali Beng Hock dengan baik. "

Lee Lan yang berharap untuk memulakan keluarga sendiri tidak lama lagi sentiasa dilihat menangis atau berwajah suram pada tahun-tahun awal selepas kematian adiknya, kini dapat melihat sinar dalam tragedi itu.

"Jika ada apa-apa yang baik daripada tragedi ini, adalah masyarakat lebih sedar tentang isu-isu politik dan kematian dalam tahanan.

"Dengan kes Beng Hock, orang ramai boleh melihat bagaimana polis melakukan penyiasatan, bagaimana ahli patologi berkelakuan, bagaimana hakim membuat keputusan dalam mahkamah dan bagaimana SPRM boleh lari daripada tanggungjawab mereka.

"Secara jelas, orang ramai dapat melihat wajah sebenar kerajaan," katanya.

Lee Lan berkata dia juga kagum dengan sokongan yang diberikan kepada keluarganya, bukan sahaja oleh ahli-ahli politik dan NGO, tetapi lebih penting dari orang awam.

"Kami mengadakan pelbagai perhimpunan dan banyak di atas nama keadilan untuk Beng Hock dan saya sangat besar hati atas sokongan orang ramai," katanya.

Namun ibunya, Teng Shuw Hoi, bermasalah tidur kerana teringatkan anaknya yang sangat rapat dengan beliau dan yang selalu menelefonnya beberapa kali sehari.

Lee Lan, Beng Hock dan tiga adik-beradik mereka yang lain sangat rapat kerana dilahirkan kira-kira selang setahun. Kakak sulungnya kini berumur 40 tahun dan Beng Hock, yang keempat dalam keluarga, akan menjadi 35 jika masih hidup hari ini.

"Ibu saya teringatkan dia apabila memasak makanan kegemarannya dan juga apabila dia mencuci pakaian, kerana Beng Hock selalu membawa balik pakaiannya setiap minggu dan ibu akan mencucinya, menggosoknya dan meletakkan semula dengan kemas ke dalam begnya," katanya.

Ibunya sentiasa mencari persamaan antara cucunya, Er Jia yang kini berusia 5 tahun, dengan Beng Hock, tambah Lee Lan.

Adik iparnya Soh, kembali ke Batu Pahat untuk tinggal bersama ibu bapanya selepas kematian Beng Hock.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas, Lee Lan berkata Soh memberitahu satu majlis hari Beng Hock meninggal dunia adalah "hari terakhir kisah hidup keluarganya."

Dan dua tahun yang lalu, ibu Soh meninggal dunia.

Namun, Lee Lan percaya masih ada harapan.

"Cher Wei tidak boleh melupakan dia tetapi bagi kami, Er Jia melambangkan kesinambungan kehidupan Beng Hock dan harapan kami," katanya.

Namun, pengakhiran masih jauh untuk keluarga ini selagi pembunuh adiknya masih bebas.

"Ibu bapa saya tidak akan lupa kematian anak mereka, terutamanya apabila dia dibunuh dan tidak ada yang mengambil tanggungjawab atasnya.

"Tetapi kami terus memberitahu ibu saya untuk kekal sihat supaya dapat melihat akhir cerita ini, hari pembunuh adik saya dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Lee Lan juga berkata dia tidak pernah terfikir dia dan keluarganya terpaksa menunggu begitu lama, terutamanya selepas mereka bertemu Datuk Seri Najib Razak tidak lama selepas kematian abangnya.

Menurut beliau, perdana menteri berjanji "tiada yang akan diabaikan jika terdapat bukti yang mencukupi untuk menentukan penyebab yang bertanggungjawab atas kematian Beng Hock".

Bagaimana dia rasa tentang perkara ini sekarang? Lee Lan hanya menjawab: "Ya, dia tidak menunaikan janjinya."

"Saya rasa tanpa campur tangan politik, kes ini sudah diselesaikan dan saya percaya mereka tahu siapa yang bertanggungjawab tetapi terus melindungi mereka.

"Kami akan terus berusaha memastikan pembunuh dihukum dan tidak akan berehat sehingga ia berlaku.

"Kami bersumpah untuk memastikan keadilan untuk Beng Hock," kata Lee Lan. – 13 September, 2014.