Kalau tak sokong BN, usah buat tuntutan, Najib beritahu masyarakat Cina

Kalau tak sokong BN, usah buat tuntutan, Najib beritahu masyarakat Cina

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata masyarakat Cina tidak boleh terus membuat tuntutan terhadap Barisan Nasional (BN) sekiranya mereka masih menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Berucap di Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-61 hari ini, Najib berkata mereka harus berlaku adil dengan menyokong parti pemerintah dan bukannya PR.

“Saya hendak lakukan lebih lagi, mungkin satu hari nanti saya mampu buat lebih lagi. Tetapi saya juga perlukan masyarakat Cina untuk menyokong BN. Adillah. Kamu kena mainkan peranan kamu juga.

“Kamu tak bolehlah buat tuntutan (dari BN) tapi kemudiannya sokong DAP. Buat tuntutan, kemudian sokong PR. Kamu minta (dari BN), kamu sokonglah BN, kita akan berlaku adil kepada masyarakat Cina," kata Najib.

MCA mengalami kekalahan paling teruk dalam pilihan raya lepas, dengan memenangi hanya 7 daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 itu disifatkan Najib sebagai kesan "tsunami Cina", manakala akhbar milik Umno Utusan Malaysia menyiarkan berita provokatif bertajuk "Apa lagi Cina mahu?" di muka depan.

Najib mengakui beliau masih "cuba" berlaku adil kepada masyarakat Cina walaupun terdapat hanya dua menteri MCA dalam kabinet.

"Walaupun hanya terdapat dua menteri MCA dalam Kabinet, mereka memainkan peranan membantu masyarakat Cina.

"Sebab itu apabila (Presiden MCA Datuk Seri) Liow Tiong Lai dan (timbalannya Datuk) Wee Ka Siong membuat sebarang permintaan, saya mempertimbangkannya, sebagai pengerusi BN. Saya cuba berlaku adil."

Najib berkata perbalahan dalaman yang berpanjangan dalam MCA menjejaskan proses pemilihan calon semasa pilihan raya umum.

"MCA, hentikanlah berbalah sesama sendiri. Cukuplah. (Saya) sudah bosan. Jangan bergaduh lagi. Ia menyusahkan saya," kata Najib.

"Susah untuk memilih calon. Mereka kata, orang ini yang terbaik, wanita itu yang terbaik, tetapi rupa-rupanya, calon itu dikatakan terbaik kerana dia di sebelah kamu. Orang yang lebih baik tidak berada di pihak (kamu), jadi kamu jangan cadangkan nama mereka."

Kata Najib, beliau tidak kenal semua ahli MCA dan hanya bergantung kepada presiden untuk memilih nama calon terbaik dan yang mempunyai peluang cerah menang.

"Tetapi, ada Team A, Team B dan Team C. Saya jadi keliru. Susah bagi saya, susah juga bagi setiausaha agung. BN juga jadi susah, begitu juga timbalan pengerusi. Kita semua susah," kata Najib.

"Jadi, saya katakan di sini, masa depan MCA bergantung kepada perpaduan. Jika kamu terus bergaduh, rakyat akan jadi bosan. Bosan dengan pergaduhan ini, sama seperti PR yang bergaduh di Selangor.

"Jadi, rapatkan barisan, bersatulah agar kita teguh. Itulah tema kamu."

Beliau memberitahu parti itu yang masyarakat Cina mengadu kepadanya bahawa MCA hilang arah.

Najib berkata beliau menaruh harapan terhadap kepimpinan baru di bawah Liow.

"Sekarang di bawah kepimpinan Liow, dan dengan kepimpinan MCA yang baru, saya yakin MCA sudah ada arah dan tujuan. Itulah sebabnya saya ingin katakan yang saya akan terus menyokong MCA yang sedia ada, atas kapasiti saya sebagai pengerusi BN." – 12 Oktober, 2014.