Advertisement

Kassim Ahmad boleh cabar Jawi dan Mahkamah Syariah, kata Mahkamah Rayuan

Religious court on collision course with civil court over Kassim Ahmad’s case

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan mahkamah sivil berbidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman difailkan bekas aktivis sosial Dr Kassim Ahmad untuk mencabar keputusan pendakwa syarie yang mendakwanya menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Balia Yusof Wahi dalam membenarkan rayuan Kassim berkata, tindakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Ibrahim Deris dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) boleh diteliti.

Peguam Kassim Rosli Dahlan berkata, susulan keputusan hari ini, Mahkamah Tinggi akan mendengar merit kes permohonan semakan kehakiman itu.

Pada 14 Julai, hakim Datuk Zaleha Yusof membenarkan bantahan awal peguam negara terhadap semakan itu selepas memutuskan perkara itu dalam bidang kuasa eksklusif mahkamah agama.

Balia berkata, jenayah syariah tidak termasuk di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Kesalahan syariah ialah kesalahan yang bertentangan dengan ajaran Islam," katanya, sambil menambah panel itu terikat dengan keputusan Mahkamah Agung pada 1988 dalam kes Mamat Daud lawan pendakwa raya.

Panel yang diketuai Ketua Hakim Negara waktu itu Tun Salleh Abas berkata semua kesalahan di bawah enakmen syariah negeri adalah bagi tindakan yang melanggari ajaran Islam.

Antaranya ialah minum arak, makan dan minum secara terbuka pada bulan puasa dan mengingkari fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama.

"Ia bukan kes jenayah dan tertakluk kepada semakan kehakiman," kata Balia.

Kassim memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman dan menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ibrahim, Jawi dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Kassim, 81, memfailkan permohonan itu pada 26 Jun, dan turut memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Ibrahim pada 27 Mac yang mendakwanya terhadap dua pertuduhan iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

Beliau memohon prosiding kesnya di Mahkamah Tinggi Syariah digantung sehingga permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu diputuskan.

Kassim juga memohon perintah membatalkan tindakan dan keputusan pegawai penguatkuasa Jawi yang menyerbu, menggeledah dan menyita bahan terbitannya, memeriksa, menahan, menangkap dan mengeluarkannya dari Kedah dan membawanya ke Wilayah Persekutuan.

Kassim juga memohon suatu deklarasi tindakan pencerobohan pegawai Jawi dan pendakwaan terhadapnya ultra vires dan bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Akta-Akta Syariah Wilayah Persekutuan dan Enakmen-Enakmen Syariah Kedah.

Beliau memohon suatu deklarasi kesalahan melanggar fatwa Wilayah Persekutuan hanya terpakai kepada pemastautin di Wilayah Persekutuan saja. – 24 Julai, 2014.