KDN: i-Kad diperkenal kepada pekerja asing di Malaysia

Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan kad identiti i-Kad kepada semua pekerja asing di negara ini bermula selewat-lewatnya 15 November ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengeluaran i-Kad itu akan dilakukan secara berperingkat kepada 2.5 juta pekerja asing yang ada di negara ini.

"Selepas i-Kad dikeluarkan pihak berkuasa akan terus melakukan operasi bagi mengesan pendatang asing. i-Kad ini berfungsi untuk membezakan pekerja yang sah dan tidak sah," katanya.

Zahid berkata, i-Kad itu akan dilengkapi ciri keselamatan yang canggih termasuk elemen biometrik dan kod bar, sekali gus memudahkan tugas pegawai penguatkuasa imigresen.

Katanya, i-Kad itu juga akan dikeluarkan dalam pelbagai warna mengikut sektor pekerjaan warga asing terbabit.

Beliau berkata, kos i-Kad ditanggung oleh pekerja dan untuk mendapatkan i-Kad, pekerja asing terbabit perlu ke Jabatan Imigresen Malaysia.

Zahid berkata, i-Kad akan turut diperkenalkan kepada pelajar asing, pemegang lesen senjata api serta sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia. - Bernama, 4 Oktober, 2013.