Keluarga jangan terlalu emosi, media jangan mendesak, kata KPN

Polis tidak sekat kebebasan bersuara, perlu ikut undang-undang

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) menasihati petugas media agar tidak terlalu mendesak ahli keluarga dan waris penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH17 sehingga mengakibatkan mereka beremosi.

Beliau turut menasihati keluarga waris penumpang pesawat berkenaan agar tidak terlalu beremosi sehingga bertindak di luar batasan.

"Kepada ahli keluarga, kita faham situasi kesedihan yang menyelubungi ahli keluarga tetapi janganlah bertindak secara berlebihan.

"Kepada media pula, janganlah mendesak sangat ahli keluarga untuk membuat apa-apa komen sehingga boleh menaikkan emosi ahli keluarga," kata Khalid, dalam respons insiden jurugambar Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Aizuddin Saad ditumbuk keluarga penumpang pesawat itu ketika membuat liputan ketibaan jenazah penumpang pesawat berkenaan hari ini.

Aizuddin dipercayai ditumbuk ahli keluarga penumpang berkenaan di Nirvana Memorial Centre Sungai Besi, Kuala Lumpur ketika membuat liputan ketibaan mendiang Paul Goes warganegara Belanda dan isterinya, Subashni Jretnam, serta anak mereka, Kaelamayajay Goes.

Mereka adalah antara penumpang yang terlibat dalam nahas insiden pesawat milik syarikat penerbangan negara MAS yang dibawa pulang hari ini.

Sementara itu, dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sungai Besi, Aizuddin berkata, beliau mengalami kecederaan sepanjang 2cm di pangkal hidungnya akibat ditumbuk waris penumpang berkenaan.

Aizudin dalam laporan polisnya berkata, kejadian berkenaan berlaku apabila salah seorang anggota keluarga menendang kameranya ketika sedang mengambil gambar sehingga mengakibatkan kameranya mengalami kerosakan teruk.

Beliau kemudiannya beredar untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku sambil membawa komponen kameranya dan ketika rakan-rakannya mengambil gambar beliau, secara tiba-tiba ahli keluarga yang lain melulu dan menumbuk mukanya.

"Secara tiba-tiba salah seorang ahli keluarga yang lain datang secara melulu dan menumbuk arah muka saya dan menyebabkan batang hidung saya cedera serta terkoyak sepanjang lebih kurang 2cm.

"Saya dibawa keluar oleh pekerja Nirvana Memorial ke lobi bangunan dan membantu membersihkan darah di muka saya," katanya, berdasarkan laporan polis berkenaan.

Aizudin berkata, kejadian berkenaan disaksikan sekitar 20 wartawan dan jurugambar yang membuat liputan, termasuk kakitangan Nirvana. – 2 September, 2014.