Keluarga MH370 beralih penyumbang kaya untuk ganjaran pemberian maklumat

Reaksi yang kurang memberangsangkan mendorong waris penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 menukar sasaran misi kutipan sebanyak US$5 juta (RM16 juta) sebagai ganjaran kepada pemberi maklumat kehilangan pesawat itu.

Ahli keluarga kini mula memikirkan pendekatan melalui orang kaya, terus meminta derma bagi menambahkan dana yang dikumpul melalui laman sesawang Indiegogo sejak kempen itu dilancarkan awal bulan ini, memandangkan ia tidak mencapai sasaran yang dharapkan.

Pada masa ini sebanyak US$78,335 dikumpul melalui Indiegogo, dan saluran itu kekal diteruskan.

Kempen "Ganjaran MH370; Pencarian kebenaran"‎ menyasarkan kutipan sebanyak US$3 juta bertujuan diberikan kepada pemberi maklumat sekiranya dapat mengemukakan maklumat penting manakala US$2 juta bagi penyiasat persendirian membuat siasatan lanjut.

Sarah Bajc, merupakan pasangan Philip Wood, seorang penumpang MH370, berkata mereka kini mencari dana sumber daripada kumpulan terdiri daripada individu sangat kaya.

Wanita itu juga berkata sasaran bagi kutipan dana di Indiegogo juga dinilai semula tiga hari lalu iaitu sebanyak US$100,000.

Bajc berkata biarpun hasil kajian awal tentang reaksi umum mengenai ganjaran dan penyiasat persendirian mencari pesawat menerima banyak sokongan, namun ia tidak dilihat dalam tindakan sejak kempen bermula.

"Saya secara jujurnya tidak dapat memahami. Kami masih percaya bahawa ganjaran tersebut dilihat sebagai jumlah perubahan hidup jika tidak pemberi maklumat tidak akan berani untuk tampil.

"Mereka perlukan wang secukupnya untuk menghilangkan diri," kata Bajc dalam emelnya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berharap penyumbang dapat meletakkan kepercayaan dan harapan kepada keluarga MH370 kerana mereka akan komited dalam projek yang memberi ganjaran dan menjalankan siasatan persendirian.

Sarah berkata dengan US$100,000 mereka‎ boleh menukar penyiasat persendirian untuk menyiasat petunjuk paling sahih.

"Kami berharap akan dapat maklumat untuk mendapatkan perkembangan konkrit biarpun ia maklumat yang menafikan teori pesawat itu berada di dasar laut berbulan lama.

"Kami berharap ia dapat memberi motivasi kepada masyarakat untuk terus menyumbang. Siasatan akan mengambil masa, tenaga dan wang, namun sekiranya dilakukan dengan betul kita akan dapat lihat hasilnya." katanya.

Katanya projek berkenaan bukan sahaja bagi mengetahui kebenaran mengenai MH370 malahan ia berkait soal keselamatan penumpang pesawat secara umum.

"Kehilangan MH370 mendedahkan pelbagai kelemahan dalam industri penerbangan dan prosedur bagi memeriksa penumpang, kargo dan pemantauan kabin dalam penerbangan.

Pencarian berterusan pesawat MH370 dikatakan sebagai yang terpanjang dan termahal dalam sejarah penerbangan dunia dengan kos mencecah RM141 juta bagi bulan pertama.

Boeing 777 itu membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac selepas pesawat itu dikatakan berpatah balik dari laluannya ke Beijing menghala ke selatan Lautan Hindi.

‎Menurut keluarga penumpang, insiden yang tidak pernah terjadi sebelum ini menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan lebih 8 juta penumpang kapal terbang setiap hari.

Mereka berkata sehingga MH370 masih belum dijumpai dan kehilangannya tidak didedahkan, "langit" tidak akan selamat.

"Pada hari seterusnya, mungkin anda atau saya akan berada dalam pesawat ‎yang hilang," kata Bajc. – 29 Jun, 2014.