Kem BTN untuk basuh otak Melayu jadi samseng dan rasis, kata Ambiga

Putrajaya berusaha pecah belah rakyat Malaysia, kata Ambiga

Datuk Ambiga Sreenevasan menyifatkan Kem Biro Tatanegara (BTN) hanya sekadar menjadi sesi untuk membasuh otak kaum Melayu agar menjadi rasis dan samseng.

Penaung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Negara-Ku itu berkata, ibu bapa yang membenarkan anak mereka mengikuti kem tersebut terkejut dengan objektif dan kandungan modul yang diajar.

"Saya bertemu dengan beberapa rakan Melayu yang menghadiri kem ini dan mereka marah dan rasa jijik," kata beliau semasa menghadiri Persidangan Kebangsaan Anti-Diskriminasi yang bertajuk "Perpaduan dan Penyatuan Sosial di Malaysia – Jadikannya bukan suatu yang mustahil" di Kuala Lumpur hari ini.

"Apa yang diberitahu kepada kamu? Melayu dibasuh otak supaya menjadi rasis dan samseng semasa menghadiri kem ini," kata Ambiga.

BTN berada di bawah kendalian Pejabat Perdana Menteri dan sering diadakan untuk penjawat awam dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Saya kecewa dengan pemimpin kita, mereka tidak berminat untuk tangani isu ini. Mereka hanya minat untuk politikkan isu ini.

"Saya dengar orang berkata menteri tertentu terpaksa keluarkan kenyataan perkauman kerana perlu melakukannya. Apa jenis penjelasan ini? Ia salah pemimpin kita, tiada alasan," katanya.

Ambiga juga membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini yang dianggapnya sebagai cakap kosong semata-mata.

"Perdana menteri nampaknya mahir dalam membuat ucapan yang hebat semasa di depan masyarakat antarabangsa di PBB.

"Tetapi dalam menunaikan janji, beliau gagal," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh daripada hadirin.

Ambiga berkata, rakyat hanya mahukan keharmonian sesama kaum tetapi berlainan pula dengan pemimpin di dalam negara.

"Kita berminat dalam keharmonian negara, rakyat cuba mencapai keharmonian sesama sendiri tapi saya tidak pasti tentang pemimpin kita," katanya.

Beliau juga sempat mengkritik kerajaan susulan laporan terkini ahli akademik, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang juga berdepan pendakwaan mengikut Akta Hasutan selepas beberapa laporan polis dibuat terhadapnya.

"Malaysia pasti berada dalam Guinness Book of Records kerana mempunyai jumlah paling banyak laporan polis yang dibuat," katanya.

Menurut Ambiga, hanya di Malaysia menjadi kesalahan bagi individu, pakar atau ahli akademik untuk menyatakan pandangan sendiri.

Malah, beliau berkata penjajah Inggeris juga pastinya kecewa dengan cara undang-undang penjajah tersebut digunakan kerajaan Malaysia untuk menekan musuh politiknya. – 30 September, 2014.