Keputusan A Bahasa Inggeris dalam SPM, tetapi tidak mampu bertutur dengan baik

Ramai majikan kecewa dengan pencari kerja daripada kalangan "generasi Y" yang umumnya mempunyai kelulusan baik mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksan tetapi kemahiran berkomunikasi yang lemah, terlalu dimanjakan bagi menangani sebarang tekanan, dan ingin cepat naik pangkat walaupun tiada pengalaman.

Rekrut Gen Y, berbanding generasi sebelumnya, juga kurang tertarik dengan faedah pekerjaan yang ditawarkan majikan seperti insurans perubatan dan bonus tetapi lebih tertarik terhadap ganjaran wang tunai serta merta bagi prestasi yang ditunjukkan, lapor hasil tinjauan di kalangan kumpulan majikan dan pengusaha syarikat.

Ini adalah antara petunjuk bagi 20 sikap pencari kerja masa kini yang sebahagian besarnya berpunca daripada dasar pendidikan pada tahun-tahun sebelumnya yang tidak menekankan kepentingan bahasa Inggeris, kata kumpulan pendidikan sekolah.

Malah, Parent Action Group for Education (Page) percaya semua dasar ini mencipta sebuah "generasi hilang punca" yang mempunyai penguasaan bahasa Inggeris lebih lemah berbanding generasi sebelumnya dan terlepas perubahan di sekolah yang memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Setiausaha Persekutuan Majikan Malaysia, Datuk Shamsudin Bardan berkata, kaji selidik beberapa tahun lalu di kalangan ahlinya mendapati 60% daripada mereka yang dikenal pasti lemah dalam bahasa Inggeris menjadi masalah utama rekrut muda.

Satu kajian hampir serupa turut dijalankan pada September tahun lalu oleh agensi pengambilan pekerjaan atas talian JobStreet.com yang mendapati 55% pengurus kanan dan syarikat yang mengambil bahagian berkata, penguasaan bahasa Inggeris yang lemah adalah sebab utama pengangguran di kalangan mahasiswa.

Lulusan sekolah juga yang mempunyai gred A dan B bagi subjek Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga tidak boleh bertutur, kata Shamsudin.

"Itulah sebabnya kami teruja apabila kerajaan mengambil keputusan mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang kami rasakan mampu meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka.

"Malangnya ia dibatalkan selepas tujuh tahun apabila kita sepatutnya membenarkan ia diteruskan bagi tempoh 14 hingga 15 tahun untuk melihat keberhasilannya.

"Ketidakupayaan bertutur dan memahami bahasa Inggeris (antara lepasan sekolah) merupakan aduan yang sering diterima di kalangan ahli kami," kata Shamsudin. MEF mempunyai 4,800 ahli dan 21 pertubuhan gabungan pengusaha.

Ia merupakan kumpulan majikan terbesar yang secara kolektif menggunakan dua pertiga daripada 2.2 juta penduduk bagi sektor swasta secara rasmi.

Christopher Raj daripada Persatuan Majikan Hotel berkata, daripada 10 pemohon kerja dalam sektor hospitaliti, lapan atau sembilan tidak boleh berbahasa Inggeris.

"Masalah itu adalah teruk dan bukan sahaja melibatkan belia lepasan sekolah tetapi juga graduan dari universiti-universiti tempatan. Anda bertanya mereka dalam bahasa Inggeris dan mereka menjawab dalam BM.

"Graduan kolej swasta jauh lebih baik," kata Raj, yang juga ahli majlis MEF.

Memandangkan undang-undang imigresen tidak membenarkan pihak hotel mengupah pekerja asing yang lebih mahir berbahasa Inggeris bagi kakitangan di bahagian hadapan di mana keperluan berbahasa Inggeris sangat penting, kebanyakan hotel besar terpaksa menganjurkan kursus bahasa Inggeris untuk pekerja baru mereka.

Kursus-kursus direka untuk membina keyakinan terhadap pelatih bagi kakitangan restoran dan kaunter bertutur dalam bahasa itu, kata Raj.

Pengerusi Page, Datin Noor Azimah Abdul Rahim (gambar) berkata, matlamat sekunder PPSMI adalah untuk memberi lebih banyak peluang kepada pelajar mengamalkan bahasa Inggeris – satu langkah penting dalam meningkatkan penguasaan.

Matlamat pertama adalah untuk membantu pelajar beraliran sains melakukan peralihan ke universiti dan kolej di mana hampir semua buku rujukan sains adalah dalam bahasa Inggeris.

"Kemahiran bagi mana-mana bahasa adalah berkaitan dengan amalan. PPSMI mewujudkan lebih banyak peluang kepada pelajar untuk berlatih," katanya sambil menambah Page berkempen bagi pihak kerajaan untuk membenarkan sekolah meneruskan dasar itu.

Kerajaan menghentikan PPSMI pada 2011, tujuh tahun selepas ia dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah. Alasan yang diberikan adalah kadar kenaikan yang kecil sahaja dalam bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Bagaimanapun Noor Azimah berkata, kajian menunjukkan dalam peperiksaan Matematik dan Sains di mana pelajar diberi pilihan sama ada menjawab dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, lebih 90% pelajar sekolah rendah Tamil menjawab dalam bahasa Inggeris.

Di sekolah-sekolah kebangsaan, kajian yang sama menunjukkan bahawa 60% pelajar memilih menjawab dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Di samping lemah bahasa Inggeris, majikan seperti Raj turut mengadu pencari kerja muda berusia 20-an seolah-olah tidak dapat menangani tekanan dengan baik atau bekerja dari peringkat bawah.

"Graduan hari ini datang dari kolej dan ingin cepat menjadi pengurus, tanpa sebarang pengalaman. Anda tidak boleh memarahi mereka dan mereka juga tidak boleh menangani tekanan," kata Raj, yang berpengalaman selama 33 tahun dalam bidang perhotelan.

Shamsuddin dari MEF mengatakan pekerja berusia 20-an yang digelar sebagai generasi Y adalah "gelisah" berbanding generasi sebelumnya.

"Mereka lebih tertarik dengan apa yang ada di depan mata berbanding di masa hadapan. Mereka kurang tertarik kepada faedah seperti bonus tahunan, perubatan, persaraan.

"Malah, mereka mahu bonus tahunan diberi pada kadar bulanan setiap bulan," katanya.

"Saya rasa ia kerana persekitaran ekonomi hari ini. Syarikat perlu bergerak pantas untuk bersaing dan ia membentuk sikap pekerja." – 26 Jun, 2014.