Kerajaan bantu 3,000 pelajar Mesir sambung belajar tempat lain

Keputusan SPM 2014 diumumkan 3 Mac, kata Idris Jusoh

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh (gambar), berkata kerajaan akan membantu kira-kira 3,000 pelajar yang enggan kembali ke Mesir untuk meneruskan pengajian mereka ke negara itu.

Beliau berkata, satu jawatankuasa dibentuk bagi memudahkan urusan semua pelajar berkenaan menyambung pengajian di mana -mana Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam negara.

"Kita mohon pelajar yang tidak mahu kembali ke Mesir segera mendaftarkan nama mereka di Majlis Pelajar Malaysia Mesir (MPMM)," katanya dipetik daripada Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun, Idris berkata, kerajaan tidak akan menghalang pelajar yang ingin kembali ke Mesir meneruskan pengajian mereka terutama pelajar tahun akhir.

Terdahulu, Idris mengumumkan sesi pengajian baru bagi pelajar Malaysia di semua universiti di Mesir akan bermula 19 Oktober ini manakala peperiksaan pula bermula 21 September.

Bagaimanapun, katanya, tarikh itu tertakluk kepada keadaan di Mesir.

Katanya, tarikh ini ditetapkan dalam perbincangan antara wakil kementerian dan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir baru-baru ini.

Rampasan kuasa di Mesir oleh tentera menyebabkan pergolakan yang berlanjutan sehingga kini menjejaskan pengajian seramai 2,791 pelajar Malaysia.

Semua pelajar yang dibawa pulang dari Mesir pada 30 Ogos lalu kini berada dalam dilema kerana kesukaran mendapatkan penajaan bagi menyambung pengajian mereka di institusi pengajian tinggi di negara ini. – 14 September, 2013.