Kerajaan kata ekonomi meningkat, rakyat mengeluh harga makanan naik

Kerajaan kata ekonomi meningkat, rakyat mengeluh harga makanan naik

Kadar inflasi secara rasminya mungkin 3.5%, tetapi rakyat Malaysia mula mengeluh kenaikan harga barangan asas dan daging, memaksa mereka mengurangkan pembelian makanan pada harga sama dibeli mereka berbulan lalu.

Keluhan mengenai perbezaan harga barang itu diluahkan 14 keluarga ketika ditemui The Malaysian Insider di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang dalam tinjauan mengenai kenaikan harga barang di negara ini.

Satu lagi perkembangan trend baru adalah semakin kurang hasil pendapatan yang diperoleh, semakin kurang kemampuan untuk membeli makanan.

Keluarga yang memperoleh pendapatan RM3,000 ke bawah mengatakan mereka kini kurang makan ayam, makanan laut, dan daging sejak enam bulan lalu.

Keadaan semakin melarat bagi keluarga Tee Seng Yean dan isterinya yang berumur 78 tahun apabila makanan asas yang dimakan kadang kala tidak dapat mengenyangkan perut mereka.

Tee adalah bekas pekerja kontraktor berat dan pengecat bangunan, manakala isterinya pencuci pinggan mangkuk restoran yang memperoleh pendapatan RM20 sehari.

Pendapatan bersama mereka boleh mencecah RM1,500 jika ada kerja yang mencukupi.

"Kami jimatkan makanan dan bil perubatan supaya mampu membayar sewa. Sama ada kami pergi ke klinik kerajaan atau makan dengan sedikit, kadangkala tidak cukup mengenyangkan," katanya yang juga penduduk Petaling Jaya Utama.

Micheal De Cruz, 33, Kuala Lumpur, menceritakan kisah keluarganya yang terpaksa mengurangkan memakan ayam.

Bekerja sebagai pemandu lori di siang hari dan pemandu teksi pada sebelah malamnya, De Cruz mampu mendapat RM3,000 hasil dua kerja yang dilakukannya selama 30 hari sebulan.

Beliau terpaksa menanggung isterinya, dua anak kecil berumur 4 dan 2 tahun dan ayahnya berusia 68 tahun yang tinggal di flat kos rendah di Bandar Tun Razak.

"Lampin dahulu hanya RM29 sekarang RM34.50. RM300 dulu cukup untuk sebulan.

"Sekarang kami terpaksa belanja RM500 untuk mendapatkan barang yang sama. Ini cuma barang runcit seperti beras, tepung susu, sabun dan ubat gigi.

"Belum termasuk daging dan sayur di pasar. Kena tambah RM200," katanya kepada The Malaysian Insider.

Laporan Bernama pada 17 Julai memetik Alliance Research berkata perkembangan Indeks Harga Pengguna (CPI) berada pada tahap 3.3% pada Jun ekoran kenaikan sektor makanan dan minuman beralkohol.

Laporan berkata sektor itu meningkat laju 3.5% pada Jun berbanding 3.3% pada bulan sebelumnya.

Pengecutan nilai ringgit merupakan isu utama yang berulang kali dibangkitkan dalam setiap temubual.

Zainal Ahamd, 52, penduduk Shah Alam berkata RM50 yang dibeli di pasar pada tahun lalu mencukupi untuk seminggu.

"Kini RM50 hanya mampu bertahan dua hingga tiga hari sahaja," kata Zainal yang juga pengusaha gerai burger bersama isterinya di pangsapuri Seksyen 24.

"Kalau dahulu kami mampu makan ayam setiap hari, sekarang dua tiga hari baru dapat ayam. Biasanya kami makan ikan dan paling murah ikan keli.

"Bil elektrik juga naik daripada RM80 sebulan tahun lalu kepada RM120 sebulan sekarang," katanya.

Waktu siang isterinya terpaksa menjaga dua anak jirannya dan mampu memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM600 sebulan.

Keseluruhannya, mereka memperoleh hasil pendapatan RM2,100 untuk menyara diri dan tiga anak yang masih bersekolah serta ibu mertua.

Bukan sahaja di Selangor, malah kenaikan harga barang turut sama dirasai keluarga di Lembah Klang.

"Makanan merupakan perbelanjaan terbesar sehingga mencecah RM700. Ia termasuk susu formula bayi untuk cucu. Saya tak boleh potong belanja banyak disitu," kata pesara kilang Loo Ah Huat, 66.

Dia berkongsi rumah dengan isterinya, tiga anak yang bekerja dan memiliki gaji rendah serta tiga cucu. Pendapatan isi rumah mereka kurang daripada RM5,000 sebulan.

"Seekor ikan besar berharga RM20 dan ke atas. Sepinggan atau semangkuk nasi sahaja mencecah RM4 atau RM6. Nasi kandar berharga RM7 atau RM8.

"Jika makan di luar, kami terpaksa belanja lebih," katanya.

Loo berkata, keluarganya juga terpaksa membelanjakan duit untuk upacara keagamaan yang wajib ditunaikan.

"Bagi penganut Tao dan Buddha, kami ada perayaan dan upacara agama hampir setiap bulan. Maknanya kena beli makanan untuk dewa-dewa juga," katanya.

Bagi memastikan penjimatan setiap sen, Mohd Hafiz Abd Aziz, 52, berkata isterinya akan membeli makanan yang cukup untuk satu hidangan.

"Setangkai bunga kantan sekarang RM4. Dulu cuma 50 sen. Kami hanya beli apa yang kami perlukan. Isteri saya beli barang cukup-cukup sahaja untuk satu masakan, tak lebih.

"Di situ isteri dapat jimatkan wang belanja isi rumah yang saya beri untuk makanan," katanya yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan negeri dan juga pencari nafkah bagi isterinya dan tiga anak berumur 20, 18, dan 10. Pendapatan isi rumahnya kurang daripada RM5,000.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Paul Selvaraj berkata, kenaikan harga makanan merupakan trend global dan cuma segelintir negara sahaja yang mampu mengawal harga.

Katanya, Putrajaya perlu menggunakan undang-undang sedia ada untuk membanteras monopoli dan penetapan harga oleh pembekal makanan.

"Ada harga yang sengaja dimanipulasi di pasaran. Jika pasaran dapat dibebaskan harga boleh turun. Jadi kerajaan perlu pastikan kebebasan pasaran dan barangan.

"Namun pada masa sama pengguna juga perlu sedar sumber tanah dan air semakin berkurangan dan ini mendorong kenaikan kos pengeluaran barang.

"Perubahan iklim juga menjejaskan cara penghasilan makanan," katanya. – 2 September, 2014.