KERAJAAN KEDAH TANGGUNG BELANJA INSANIAH HOLDINGS SDN BHD

SINTOK, 16 Jun (Bernama) -- Kerajaan Kedah terpaksa menanggung perbelanjaan

dan membayar gaji kakitangan Insaniah Holdings Sdn Bhd, walaupun anak syarikat

Kolej Universiti Insaniah (Kuin) itu sepatutnya menjana pendapatan sendiri.

Menyatakan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan

Kerja Raya Negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata kerajaan negeri terpaksa

menanggung kos berkenaan buat sementara waktu sehingga satu keputusan mengenai

status Insaniah Holding dibuat dalam tempoh terdekat.

"Masalah gaji kakitangan Kuin yang sebelum ini selalu lewat dah selesai.

Cuma ada sikit lagi melibatkan gaji staf.

"Sepatutnya syarikat Sdn Bhd ni meniaga, takkan kita nak bayar sebab staf

tidak terikat dengan pengambilan kerajaan," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terkini Kuin ketika ditemui pemberita selepas

menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan

Pelajaran Mara dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara.

-- LAGI

TAJUL-KUIN 2 (AKHIR) SINTOK

Tajul Urus berkata, bagi belanja mengurus serta membayar gaji dan elaun

lebih 100 kakitangan Insaniah Holdings sahaja, kerajaan negeri terpaksa

mengeluarkan kos lebih RM0.5 juta setiap bulan.

"Insaniah Holdings sepatutnya bukan di bawah tanggungan kerajaan negeri

kerana ia adalah cabang perniagaan Kuin, tapi kita faham masalah kakitangan

Insaniah Holdings ni.

"Pihak saya kini sedang menyusun untuk mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah

Kuin dalam masa terdekat untuk bincangkan masalah ini, sama ada nak teruskan

Insaniah Holdings ini atau ubah suai, ambil alih atau tutup terus," katanya.

Sementara itu, mengenai dakwaan kononnya kerajaan negeri ingin menswastakan

Kuin, beliau berkata tidak pernah ada sebarang keputusan mengenai tindakan

berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini memberikan sepenuh perhatian untuk

menyelesaikan masalah dan kelemahan Kuin supaya kolej universiti itu dapat

bergerak lancar dan menjadi sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka

khususnya di negeri ini.

-- BERNAMA

SMS SMS RS

Loading...