KERAJAAN NEGERI JALIN KERJASAMA DENGAN NGO WANITA SELARASKAN DATA IBU TUNGGAL - EXCO

KUANTAN, 15 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan badan

bukan kerajaan (NGO) serta pihak yang terlibat dalam pembangunan dan kebajikan

wanita bagi menyelaraskan data untuk golongan ibu tunggal di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan

Multimedia, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata data tersebut dikumpulkan Jabatan

Pembangunan Wanita, menerusi online, namun bilangan yang mendaftar terlalu kecil

iaitu kira-kira 200 orang sahaja.

"Sebelum ini data mengenai jumlah ibu tunggal di negeri ini telah pun

dikumpulkan banyak pihak, termasuk Wanita Umno negeri, Jawatankuasa Kemajuan dan

Keselamatan Kampung (JKKK) serta data dari Jabatan Pembangunan Wanita, tapi ia

tidak diselaraskan.

"Dengan adanya data lengkap yang diselaraskan nanti kita harap tiada lagi

ibu tunggal yang tercicir daripada mendapat bantuan daripada pelbagai pihak

khususnya bantuan daripada kerajaan pusat mahu pun kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan

bersama wakil-wakil Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) negeri di sini

hari ini.

-- LAGI

IBU TUNGGAL-DATA 2 (AKHIR) KUANTAN

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul itu juga berkata walaupun setakat

ini tiada bantuan secara bulanan yang diberikan kepada golongan ibu tunggal di

negara ini, namun kerajaan berusaha memberikan bantuan sewajarnya kepada

golongan berkenaan menyara kehidupan.

"Memang tiada bantuan bulanan diberikan kepada mereka, jika ada hanyalah

bantuan persekolahan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan menjelang

perayaan yang disumbangkan oleh pihak-pihak tertentu serta NGO.

"Pentingnya data itu adalah jika kerajaan nak bagi bantuan bagi membuka

perniagaan kepada golongan ini, kita sudah ada nama-nama mereka dan ini

memudahkan mereka menerima bantuan tersebut," katanya.

-- BERNAMA

NF NF NH

Loading...