Advertisement

Kerajaan sasar penurunan kes denggi dalam tempoh dua bulan, kata Muhyiddin

Asean has to do more in handling disasters, says Muhyiddin – Bernama

Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan kes denggi dalam tempoh dua bulan bermula hari ini terutamanya di 492 lokaliti wabak yang masih aktif, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).

Beliau berkata sasaran itu dilaksanakan menerusi penubuhan Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan yang akan menggerakkan aktiviti kawalan secara optimum.

"Harapnya dalam tempoh dua bulan akan datang, ada kesan positif memandangkan kes demam denggi dan kematian yang dilaporkan semakin meningkat serta membimbangkan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi 2014 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata Selangor mencatatkan lokaliti aktif tertinggi iaitu 264 diikuti Kelantan (66), Kuala Lumpur dan Putrajaya (45), Negeri Sembilan (41), Johor (28) dan Sarawak (14) manakala selebihnya di Perak, Sabah, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Perlis dan Melaka.

Sejak Januari hingga 12 Julai lepas, jumlah kes denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 48,845, yang meningkat 34,719 kes atau 246% berbanding 14,126 kes bagi tempoh sama tahun lepas, selain 92 kematian.

Muhyiddin berkata walaupun kes demam denggi meningkat, namun kerajaan melihat belum ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat denggi sebaliknya melaksanakan pelan tindakan bersepadu yang lebih komprehensif dengan mengenal pasti kawasan-kawasan hotspot.

"Terdapat lokaliti hotspot yang telah berlarutan selama sebulan terutamanya di kawasan paling panas iaitu di Selangor sebanyak 62 lokaliti, Kelantan (lapan), Negeri Sembilan (lima) dan Sarawak (satu)," katanya.

Justeru, Muhyiddin berkata jawatankuasa berkenaan akan mengenal pasti sama ada perlu memperluaskan kawalan di kawasan berkenaan termasuk berkaitan kapasiti sumber manusia serta sama ada terdapat keperluan untuk mendapatkan sumber tambahan daripada pihak luar.

"Keperluan tambahan dari segi peralatan, ubat-ubatan atau bekalan-bekalan bahan-bahan tertentu untuk membantu operasi jabatan dan agensi dalam operasi pencegahan juga akan dikenal pasti," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata mesyuarat itu turut membincangkan mengenai bajet sedia ada sama ada ia mencukupi setelah Kementerian Kesihatan membelanjakan hampir RM8 juta setakat ini.

"Kalau tidak cukup, kementerian akan maklumkan dan kita kemukakan kepada kerajaan untuk menimbang bajet tambahan yang diperlukan termasuk tambahan sumber manusia," katanya.

Sementara itu, beliau berkata meskipun tahap kesedaran masyarakat mengenai bahaya denggi mencapai 90% tetapi sesetengah pihak tidak mahu mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang disarankan.

Sehubungan itu, katanya kempen kesedaran mengenai bahaya denggi akan terus dipergiat melalui pelbagai saluran termasuk media massa, risalah serta ceramah di kawasan hotspot.

"Saya sendiri akan turun meneliti beberapa kawasan tumpuan untuk meminta orang ramai sama-sama terlibat supaya kempen itu lebih berkesan," katanya.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut bersetuju untuk mengaktifkan pasukan Projek Komunikasi Untuk Tingkah Laku (Combi) yang diwujudkan Kementerian Kesihatan bagi membantu menggerakkan kempen denggi.

Muhyiddin berkata langkah penguatkuasaan undang-undang juga akan diperketatkan kerana ramai yang mengambil mudah mengenai kes denggi, misalnya di kawasan-kawasan pembinaan dengan kontraktor perlu memastikan kawasan itu tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Kita memandang serius perkara berkenaan dan akan pastikan peruntukan undang-undang sedia ada dipakai untuk tujuan itu. Kita harapkan kerjasama orang ramai," katanya. – Bernama, 14 Julai, 2014.