Advertisement

Ketelusan pengurusan kewangan faktor survival politik BN

Di sebalik kemelut politik Pakatan Rakyat (PR) yang tidak berkesudahan di Selangor dalam krisis menteri besar sehingga bakal menyaksikan perpecahan pakatan pembangkang, ada isu lebih utama terus menghantui keseluruhan rakyat Malaysia terutama sekali mereka berpendapatan sederhana dan rendah iaitu peningkatan kos sara hidup.

Sudah pasti isu ini akan terus menjadi modal PR dan terus didendang serta dimanupulasi bagi mengelakkan rakyat lupa terhadap apa yang berlaku di Selangor terutama sekali dalam menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 empat tahun lagi.

Pendedahan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) baru-baru ini, mengenai tahap hutang kerajaan Persekutuan terus meningkat melebihi tahap siling 55 % berikutan prestasi kewangan yang lemah kerana pendapatan rendah bagi tempoh suku tahun pertama tahun ini, seharusnya menimbulkan kegerunan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya.

Mengikut MIER jumlah hutang kerajaan Persekutuan kini mencecah RM560.6 bilion dan seharusnya pendekatan drastik perlu diambil dengan segera bagi mengawal perbelanjaan dengan bijaksana.

Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan akan berkembang antara 5.5% dan 6% pada tahun ini, dan akan mempengaruhi pendapatan kerajaan, ia tetap tidak akan menjamin hutang kerajaan Persekutuan tidak meningkat melebihi paras siling.

Hutang siling negara yang ditetapkan pada had 55% melalui Akta Pinjaman Tempatan 1959 menyaksikan negara akan muflis atau dengan kata kasar bankrap jika hutang itu melebihi paras berkenaan.

Bagaimanapun, pendedahan MIER ini, disangkal ketua setiausaha Perbendaharaan yang berkata tahap siling hutang kerajaan bergantung kepada KDNK dan sebenarnya, kenyataan itu boleh dipertikaikan jika hutang kerajaan itu terus berkembang melebihi KDNK.

Kerajaan boleh menaikkan kadar siling hutang negara melebihi 55% tetapi ia memerlukan majoriti dua per tiga di Parlimen dan berdasarkan senario sekarang ia adalah perkara paling mustahil boleh berlaku.

Pada masa sama, tindakan menaikkan kadar siling hutang negara juga kurang bijaksana dilakukan memandangkan, ia akan membawa negara kepada beban hutang yang semakin tidak dikawal.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan melalui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang Malaysia tidak akan menerima nasib seperti Greece pada 2012 dengan menyaksikan hutang negara berkenaan pada paras 120%.

Malah, keyakinan kerajaan itu turut disokong seorang menteri Kabinet yang bertanggungjawab terhadap unjuran ekonomi negara dengan menyatakan pendapatan rakyat negara ini boleh mencapai RM15,000 setahun menjelang 2020.

Kenyataan itu sebenarnya tidak berapa tepat memandangkan ia tidak diukur daripada faktor kesejahteraan rakyat yang terus menyaksikan rakyat dibebani dengan peningkatan harga barangan.

Ia juga hanya bersandarkan hakikat kerajaan melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Milik Kerajaan (GOC) mengawal 70% daripada ekonomi negara tetapi hanya kira-kira 30% tenaga kerja tempatan bekerja dengan GLC serta GOC.

Bagaimanapun, realitinya, apa yang dimiliki GLC dan GOC daripada segi keuntungan mereka tidak dirasai majoriti rakyat negara ini, yang bekerja dalam sektor industri kecil dan sederhana (SME) serta sektor awam.

Kumpulan rakyat ini, yang dianggarkan dalam lingkungan 70% daripada tenaga kerja tempatan negara terus merasai kesempitan hidup berikutan gaji yang tidak meningkat selari dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.

Atas sebab itu, pelbagai angka dan statistik yang dikeluarkan kerajaan melalui Pemandu atau Unit Perancang Ekonomi (EPU) gagal diterima rakyat kerana mereka tidak merasainya, dan lebih teruk bagi mereka, ia hanyalah di atas kertas serta tidak diterjemahkan dalam realiti kehidupan sebenar.

Tambahan pula, pada mata rakyat biasa mereka kurang memahami apa yang dimaksudkan unjuran KDNK serta tahap hutang siling negara tetapi mereka amat terasa dengan kenaikan harga barangan serta kos sara hidup menyebabkan mudah terpengaruh dengan pembangkang yang sering menimbulkan persepsi kerajaan BN boros dalam berbelanja.

Jika diteliti kembali apa yang berlaku pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau mengambil alih teraju pemerintahan pada awal 1980-an, kerajaan Persekutuan ketika itu, tidak mempunyai wang dan tiada projek mega bagi merancakkan ekonomi negara.

Disebabkan itu, Dr Mahathir kemudian merencanakan pelbagai projek mega dengan pembinaan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Dayabumi dan Jambatan Pulau Pinang sebelum menswastakan perkhidmatan elektrik melalui Tenaga Nasional berhad (TNB) selain Telekom Malaysia.

Kejayaan pelaksanaan pembangunan pemerintahan Dr Mahathir juga berkait rapat dengan kebergantungan kerajaan hasil Petronas yang jelas banyak menyumbang kepada kemakmuran negara.

Bagaimanapun, umum mengetahui sumber 'emas hitam' ini, tidak akan kekal lama, dan menjadi kesilapan kepada kerajaan untuk terus mengharapkan pendapatan daripada sumber minyak kerana ia akan mengakibatkan negara kehilangan hasil apabila sumber ini, habis suatu hari nanti.

Langkah Dr Mahathir yang memberikan tumpuan kepada projek mega dan penswastaan kemudian menimbulkan banyak persoalan apabila ia dilihat sebagai jalan pintas memberikan kekayaan kepada kroni sehingga berlakunya gejala nepotisme serta penyalahgunaan kuasa di kalangan ahli politik.

Selepas 22 tahun memerintah, teraju pemerintahan negara beralih kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lantas menyedari rungutan rakyat terhadap projek mega yang dilihat membazirkan wang rakyat.

Pak Lah kemudian cuba memperlahankan pembangunan negara dengan hanya menumpukan projek pembangunan yang kritikal dan sepanjang pemerintahannya selama 5 tahun, tiada projek mega dilaksanakan kecuali Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Malaysia pada zaman pemerintahan Pak Lah lebih cenderung kepada bidang pertanian dengan menggalakkan pelbagai inisiatif dan dasar kepada sektor ini, sekali gus mengakibatkan beban hutang kerajaan Persekutuan semakin meningkat.

Kini, dengan iklim ekonomi dunia tidak menentu, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak cuba merancakkan kembali ekonomi negara dengan pelbagai projek mega seperti pembinaan MRT yang menelan belanja lebih RM36 bilion selain pelbagai inisiatif melalui Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Menyedari sasaran menjadi negara maju pada 2020 hanya tinggal tidak sampai 5 tahun lagi, kerancakan ekonomi negara melalui projek mega jelas dapat dilihat tetapi turut mengakibatkan kos sara hidup meningkat.

Walaupun kerajaan tidak boleh dipersalahkan dengan peningkatan kos sara hidup berikutan ia berkait rapat dengan iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, rakyat terus melihat kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk membantu mereka dan berbelanja mewah dalam menguruskan pentadbirannya.

Pelbagai inisiatif yang dirangka seperti pemberian tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pembinaan rumah mampu milik sehingga sejuta unit dalam tempoh 5 tahun (seperti dalam janji dalam manifesto BN PRU13) tidak banyak membantu meraih kembali sokongan rakyat kepada BN.

Rakyat terus melihat pemberian projek mega kepada kroni dan lebih memburukkan lagi, ia tidak membantu kerancakan ekonomi seperti yang dikehendaki sebaliknya, bertukar menjadi isu politik.

Memang tidak salah untuk kerajaan merancang pelbagai projek mega tetapi ia perlu diselaras dengan pelaksanaan serta perancangan projek yang sistematik bagi memastikan kerajaan benar-benar mendapat pendapatan yang terbaik demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Selain itu, rakyat juga melahirkan kehairanan dan kemarahan apabila melihat perbelanjaan projek infrastruktur negara pada zaman pimpinan Najib melebihi daripada apa yang dibelanjakan pada zaman Dr Mahathir dan Abdullah.

Disebabkan perancangan projek infrastruktur yang terlalu banyak ini, kerajaan boleh terus meminjam tetapi ia akan terus meningkatkan kadar hutang negara tetapi alangkah baiknya, perbelanjaan projek infrastruktur ini, dibuat dengan kajian teliti serta melihat daripada pendapatan yang diperoleh kerajaan.

Keyakinan rakyat Malaysia terhadap sistem perbankan negara pada masa kini, adalah sesuatu yang member faedah kepada negara dan dikatakan rakyat negara ini, menyimpan sekurang-kurangnya 30% daripada pendapatan mereka di bank dengan anggaran kira-kira RM300 bilion wang simpanan rakyat berada dalam sistem perbankan tempatan.

Atas sebab itu, kerajaan juga mempunyai pilihan untuk meminjam daripada bank tempatan dengan menerbitkan bon tetapi ia sebenarnya mengundang risiko terhadap rantaian ekonomi negara.

Ini disebabkan bank akan lebih suka membeli bon yang diterbitkan kerajaan kerana pulangannya terjamin dan ia menyebabkan sektor swasta tidak dapat meminjam bagi mengembangkan perniagaan mereka, sekali gus memberikan kesan kepada rakyat.

Mengambil contoh projek prasarana awam terbesar pernah dilakukan Malaysia melalui projek MRT, yang pada mulanya disasarkan sebagai Inisiatif Kewangan Awam (PFI) melalui pembabitan syarkat swasta tetapi kemudian diambil terus kerajaan.

Ia sekali gus menyaksikan kerajaan mengeluarkan wang dalam jumlah yang begitu besar tetapi bagaimana pula pulangan yang akan diperoleh? Berapa lama kerajaan boleh mendapatkan pulangan semula melalui pengangkutan awam?

Semua ini, memerlukan perancangan kewangan yang begitu rapi dalam memastikan kerajaan tidak terjerumus dalam beban hutang tinggi sehingga boleh memberikan kesan negatif kepada rakyat serta negara.

Atas sebab itu, sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan pembabitan rakyat dalam merancang projek mega terutama sekali yang menggunakan wang kerajaan dan ia boleh dilakukan dengan membabitkan ahli Parlimen daripada BN dan pembangkang yang jelas membawa suara rakyat.

Senario ini, sudah lama dipraktikkan di sesetengah negara maju melalui kewujudan sebuah unit yang meneliti bajet kerajaan di Parlimen sebelum ia dibentangkan dikenali sebagai Office of Budget Estimate (OBE).

Melalui unit yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang ini, kerajaan akan membentangkan terlebih dulu cadangan bajet yang hendak dilaksanakan dan ia akan diteliti unit ini, sebelum cadangan bajet kerajaan yang diteliti OBE dibawa ke jawatankuasa terdiri daripada ahli Parlimen parti pemerintah dan pembangkang bagi memastikan segala perbelanjaan memberikan manfaat kepada rakyat.

Ia juga dapat mengelakkan bajet yang diminta kerajaan tidak sampai ke kelompok sasaran rakyat yang sepatutnya selain pembabitan wakil rakyat pembangkang dapat mengelakkan bajet berkenaan dipolitikkan.

Malah, lanskap politik negara yang berubah selepas PRU13 dengan menyaksikan kerajaan BN kehilangan undi popular kepada pembangkang jelas isyarat rakyat yang menuntut kerjasama antara BN dan PR dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Kerajaan BN tidak boleh lagi bertindak sendiri dalam merencanakan dasar kewangan negara disebabkan rakyat kini, semakin kritikal dan tidak mahu sebuah kerajaan yang bertindak sendiri dengan menganggap tahu segala yang terbaik untuk mereka.

Anjakan pradigma ini, sekali gus membuktikan ketelusan kerajaan dalam memastikan setiap wang rakyat dibelanjakan demi kepentingan rakyat berbeza dengan persepsi yang selama ini, ditimbulkan pembangkang terhadap kerajaan BN.

Ketelusan kepimpinan kerajaan BN khususnya di Putrajaya amat dituntut pada ketika ini, untuk bersama-sama dengan rakyat bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Apatah lagi dengan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April tahun depan, akan menyaksikan peningkatan inflasi walaupun hanya bersifat sementara tetapi tetap akan membawa keperitan kepada rakyat.

Sehubungan itu, kerajaan perlu peka dengan rintihan rakyat dan diterjemahkan dengan perancangan dasar kewangan kerajaan yang telus, sistematik serta mengambil kira aspek terutama pulangan kepada pendapatan negara.

Kegagalan berterusan untuk menjadi kerajaan yang benar-benar dapat memahami apa yang dimahukan rakyat yang bukan saja menuntut kepada pengurusan kewangan lebih telus tetapi turut melaksanakan perbelanjaan berhemah.

Ia termasuk memastikan segala apa yang dirancang dan dilaksanakan bukan untuk kepentingan sesetengah pihak atau sebagai bentuk habuan dan balasan kepada ahli politik yang menyokong pimpinan kerajaan.

Jika itu masih terus berlaku, BN sebenarnya, masih terus gagal merasai keperitan rakyat dan akan dipersalahkan jika kewangan negara berada dalam kedudukan kritikal sekali gus memberikan impak negatif setiap kali dalam PRU. – 29 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.