Advertisement

Ketika kecoh di ibu negara, dapur jalanan bergerak ke kampung Orang Asli

Ketika kecoh di ibu negara, dapur jalanan bergerak ke kampung Orang Asli

Ketika orang ramai menumpukan perharian membantu golongan gelandangan di ibu negara selepas ia menjadi isu panas, 50 aktivis bergerak ke Kampung Orang Asli Sungai Lalang Baru, Hulu Semenyih, Selangor untuk membantu dan berbuka puasa dengan mereka.

Melalui program Iftar Asnaf Ramadhan @ Selangor, mereka turun sejak tengahari untuk bersama mereka di kampung yang terpencil tersebut.

Ia melibatkan 25 mahasiswa, dan selebihnya aktivis sosial dari Muslim Care, Ummah Centre dan Abim.

Bermula dengan memasak bersama masyarakat Orang Asli di sana sehinggalah berbuka, solat Maghrib dan berakhir dengan solat terawih dengan Orang Asli di kampung ini.

Menurut Mohd Azlan Mohd Sharif, koordinator program ini, melalui program ini mereka dapat mengenali secara lebih dekat apa yang berlaku di kalangan Orang Asli di negara ini.

Masalah yang besar adalah ramainya kanak-kanak di sini tidak didaftar kelahiran mereka atau lambat berbuat demikian.

"Ramai antara mereka tidak ada surat beranak yang menyukarkan bantuan untuk mereka nanti," kata Azlan.

Beliau juga berkata, kebanyakan Orang Asli baru memeluk Islam ini tidak mendapat pendidikan agama yang wajar.

Ia menyebabkan masalah ketagihan arak agak tinggi di kawasan tersebut melihat kepada banyaknya tin-tin minuman keras di sana.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak berkuasa, khasnya di Selangor termasuk Pejabat Dearah, Pejabat Kadhi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dituntut agar turun secara berkala ke kawasan penempatan Orang Asli tersebut.

Melalui program ini, para peserta membuat gotong-royong membersihkan kawasan dan surau di samping menziarahi rumah-rumah Orang Asli ini.

"Kaedah turun padang serah barang adalah lebih "praktikal" dalam kes Orang Asli ini," kata Azlan kerana mereka kebanyakannya malu untuk datang ke tempat program yang mereka anjurkan. – 10 Julai, 2014.