Ketua Pengarang Herald dakwa Perkasa tidak amal budaya Melayu

Ketua Pengarang Mingguan Katolik, Herald,Father Lawrence Andrew menyalahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana bersikap anti penganut bukan Islam dengan memberikan gelaran pendatang serta mengarahkan mereka untuk keluar dari negara ini.

Beliau berkata, tindakan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mengancam untuk membakar Bible yang mempunyai kalimah Allah adalah perbuatan biadab.

"Adakah ini budaya seorang Melayu? Orang Melayu tidak pernah biadap sebegini. Saya sendiri sejak dahulu tidak pernah berjumpa dengan seorang Melayu berakhlak sedemikian.

"Apabila perkara buruk berlaku, mereka (Perkasa) akan sibuk berdemonstrasi di sana sini, tetapi kami pihak gereja tidak berdemonstrasi.

“Kami menghormati undang-undang negara ini. Adakah kami membuat bising? Tidak sama sekali. Kami akur dengan proses undang-undang mahkamah dan bersedia melalui peringkat seterusnya dalam prosedur penghakiman,” katanya dalam satu wawancara bersama Projek Dialog.

Andrew berkata, keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan lalu yang memutuskan Herald tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah menyinggung masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak.

Katanya, penganut Kristian di dua negeri itu bertutur dalam bahasa Melayu dan secara tiba-tiba orang Kristian di sana dihalang daripada menggunakan kalimah Allah.

“Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak berasa sangat tersinggung. Herald pada bulan ini juga memuatkan nukilan daripada akhbar utama di Pakistan dan Turki yang mengatakan keputusan penghakiman ini adalah salah.

“Artikel mereka bertegas mana-mana pihak tidak boleh mempunyai hak cipta terhadap perkataan Allah termasuk orang Melayu. Kami juga banyak menerima sokongan daripada individu dan organisasi Islam seperti Sisters In Islam (SIS). Datin Paduka Marina Mahathir telah bersuara dan mengulas isu ini,” katanya.

Andrew berkata, kekeliruan di kalangan orang Melayu dalam isu penggunaan kalimah Allah tidak seharusnya timbul kerana dalam kamus terjemahan Latin-Melayu yang diterbitkan pada 1613 ada terjemahan kalimah Allah.

Katanya, bahasa yang diguna pakai oleh gereja Katolik di Tanah Melayu sebelum jajahan kolonial British adalah dalam bahasa Melayu sebelum ia ditukar ke bahasa Inggeris selepas kedatangan British ke Tanah Melayu.

“Apabila British menyarankan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan orang ramai menjadi lebih berpendidikan, mereka mulai bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Bahasa Melayu bukan bahasa yang baru diguna pakai oleh gereja Katolik, ia digunakan sebelum negara mencapai kemerdekaan malah ia pada kurun ke-16 iaitu sewaktu mesin pencetakan baru diperkenalkan untuk mencetak buku.

“Pada masa tersebut, gereja Katolik mempunyai buku dalam bahasa Melayu, tetapi masyarakat Melayu pada masa kini mungkin agak sukar memahami kerana ayatnya dalam bahasa kuno,” katanya.

Ketua pengarang itu turut membangkitkan sektor perkhidmatan awam kini hanya dikuasai oleh orang Melayu sedangkan pada waktu dahulu ketua tentera laut adalah orang India dan pasukan polis dahulu terdiri daripada anggota berbilang kaum.

Katanya, politik di kalangan orang Melayu mengukuhkan penyebaran Islam di negara ini selain ketuanan Melayu diangkat sebagai agenda utama negara.

“Sekarang penjawat awam menjadi semakin Melayu. Jika anda ingin mendapat pekerjaan dalam sektor awam dan anda bukan Melayu, lupakan sahaja. Sesiapa yang ingin dinaikkan pangkat dalam sektor awam terpaksa menukar agamanya ke Islam.

“Pertelagahan berterusan di antara PAS dan Umno untuk saling bersaing mengukuhkan Islam di negara ini. Malah, keputusan menghalang penggunaan kalimah Allah oleh Mahkamah Rayuan juga merupakan salah satu cara meneguhkan kedudukan Islam di negara ini.

“Negara dipecahkan kepada dua iaitu Melayu dan bukan Melayu. Oleh kerana masyarakat kita dipolarisasi, ketuanan Melayu menjadi agenda utama negara.

“Konteks perbincangan negara ini bertukar menjadi ketuanan Melayu dan Melayu perlu mendapat keistimewaan yang lebih daripada semua kaum lain dan ini menyebabkan ketegangan antara kaum,” katanya. – 7 November, 2013.