Khalid salah guna dana negeri sebar propaganda peribadi, kata Adun DAP

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP mendakwa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyalahgunakan dana negeri untuk tujuan propaganda peribadi dalam krisis kepimpinan sekarang.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing) dan Adun Lee Kee Hiong (Kuala Kubu Baru) dalam sidang media bersama mereka hari ini berkata, Khalid menyalahguna media seperti Selangorkini dan TV Selangor untuk kepentingan peribadinya bagi mempromosi diri beliau masih layak menyandang jawatan MB.

"Sejumlah RM15 juta digunakan untuk penerbitan media di bawah Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB)," kata Rajiv.

CCSB merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Selangor yang bertanggungjawab menerbitkan laman Facebook dan Twitter Media Selangorku, termasuk akhbar Selangorkini dan laman YouTube TVSelangor, dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Mereka berkata CCSB seharusnya berhenti mempromosi Khalid memandangkan beliau tidak lagi menerima mandat sebagai MB setelah 30 Adun menyatakan sokongan secara terbuka kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai pengganti beliau.

"Sebagai GLC kerajaan negeri, kami berharap CCSB menghentikan laporan berat sebelah kepada Khalid dan menentang PKR, DAP untuk menggantikan beliau.

"Jika mahu meneruskan laporan dalam keadaan yang sensitif seperti ini, laporan mereka perlu neutral pro atau menentang Khalid," kata Yeo.

"Mereka perlu memberikan liputan kepada Dr Wan Azizah, calon menteri besar baru yang dipersetujui 30 Adun," katanya.

Mereka menyebut beberapa laporan Selangorkini dalam edisi terbarunya, termasuk "Sokong berdasarkan prestasi bukan parti", "Kecemerlangan MB tadbir negeri, Yayasan Selangor mahu terap konsep sama", dan "Bukan parti tapi kepentingan rakyat lebih utama", memetik beberapa tokoh dan penganalisis politik tanah air.

Yeo turut menambah, sekiranya laporan media kerajaan negeri masih bersifat berat sebelah, mereka akan menghantar akhbar berkenaan untuk dikitar semula.

"Dahulunya kami menerima akhbar ini dan mengedarkannya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kami, tetapi jika ini berterusan kami akan menghantarnya ke kilang kitar semula," kata Yeo lagi.

Sementara Lee berkata, laporan Selangorkini jelas berat sebelah terhadap Khalid apabila turut menyiarkan justifikasi pengekalan Khalid sebagai MB, bertajuk "Jawapan pejabat MB kepada dakwaan PKR".

Ketiga-tiga mereka turut mendesak Khalid menuruti kehendak majoriti Adun yang menuntutnya melepaskan jawatan berkenaan.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Sallehen Mukhyi menggesa pihak tertentu agar memahami perlembagaan negeri sebelum mendesak Khalid mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, berkata Khalid perlu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebelum memanggil Adun bersidang.

"Khalid kalau hendak adakan sidang DUN tergempar, beliau perlu membawa kepada Sultan Selangor. Kalau baginda tidak berkenan sidang DUN tergempar itu diadakan, maka perlu tunggu (ikut jadual sidang DUN sedia ada).

"Buat masa ini, sidang DUN akan berjalan mengikut jadual dan tiada perbincangan dengan menteri besar (mahu adakan sidang DUN tergempar)," katanya seperti dilaporkan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Khalid semalam berkata Sultan Selangor berpuas hati dengan penjelasannya dan mengarahkan beliau supaya tidak membuat sebarang kenyataan sehingga 27 Ogos ini. – 16 Ogos, 2014.