Khalid tiba di Istana Kayangan mengadap Sultan Selangor

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiba di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini bagi mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membincangkan masa depan pimpinan kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor itu tiba di perkarangan istana tepat jam 2.19 petang bagi mendapat perkenan baginda berhubung langkah seterusnya selepas kehilangan sokongan majoriti daripada ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Khalid ketika ditemui media semalam berkata akan mengadap Sultan Selangor pada hari ini selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuktikan beliau memperoleh sokongan majoriti Adun Selangor termasuk dua Adun PAS.

Sultan Selangor sebelum berangkat ke luar negara menitahkan Khalid tidak membuat sebarang kenyataan berhubung statusnya sebagai menteri besar sehingga baginda kembali ke tanah air.

Beliau dijangka mengadakan sidang akhbar pada jam 4 petang ini.

Khalid enggan meletak jawatan sebagai menteri besar dan mengingkari keputusan pimpinan PKR mengundur diri bagi memberi laluan kepada Dr Wan Azizah.

Beliau kemudiannya dipecat daripada parti pada 9 Ogos. – 26 Ogos, 2014.